Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Kedutaan Republik Sosialis Vietnam di Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam (Pusat Ehsan) telah menghoskan sebuah bengkel kebudayaan, Seni Sulaman Vietnam, yang berlangsung di Pusat Ehsan, hari ini.
Bengkel dihadiri oleh Duta Republik Sosialis Vietnam ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Tran Anh Vu dan isteri, Le Thi Hong Ngoan; Pemegang Amanah Eksekutif Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti Pengiran Dipa Negara Laila Diraja Pengiran Haji Abdul Momin; dan ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Ehsan, Audrey Choo Wah; serta pemilik Yi’s Nation Restaurant, Han Yeo Siew.
Kehadiran mereka menggariskan komitmen bersama kedua-dua institusi kepada memupuk kefahaman kebudayaan serta keterangkuman menerusi aktiviti-aktiviti kreatif.
Dalam ucapan alu-aluannya, TYT Tran Anh Vu telah menekankan tentang peranan diplomasi kebudayaan dalam menghubungkan masyarakat khususnya generasi muda.
Sebagai sebahagian daripada acara berkenaan, Kedutaan Vietnam turut menyampaikan koleksi karya sastera Vietnam kepada Pusat Ehsan di mana buku-buku itu diserahkan oleh TYT Tran Anh Vu kepada Audrey Choo Wah, sekali gus melambangkan hadiah persahabatan dan ilmu pengetahuan.







Koleksi karya berkenaan termasuk, Diary of a Cricket oleh To Hoai serta I See Yellow Flowers in the Green Grass dan Ticket to Childhood oleh Nguyen Nhat Anh.
Selepas acara berkenaan, para peserta dari Pusat Ehsan yang berusia 12 tahun hingga 30 tahun turut mengambil bahagian dalam bengkel sulaman yang dikendalikan oleh Le Thi Hong Ngoan dan Pham Thu Phuong.
Sesi itu mengetengahkan demonstrasi dan latihan amali dalam sulaman tradisional Vietnam, yang memberikan peluang kepada para pelajar untuk merasai sendiri ketabahan, kreativiti dan kemahiran bagi seni halus berkenaan.
Le Thi Hong Ngoan juga menekankan bahan yang digunakan semasa bengkel itu merupakan kertas kitar semula, kadbod, rumput kering dan pelbagai benang. Dengan menggabungkan bahan semula jadi dan guna semula, sesi itu bukan sahaja memperkenalkan pelajar kepada tradisi seni Vietnam tetapi juga mempromosikan nilai kemampanan dan kepintaran dalam kraftangan.
Kakitangan Pusat Ehsan turut menyertai aktiviti berkenaan, bekerjasama dengan pelajar untuk mewujudkan suasana kerjasama, galakan dan penemuan bersama.
Acara itu merupakan sebahagian daripada usaha Kedutaan Vietnam untuk mempromosikan budaya Vietnam di Brunei Darussalam dan bagi mengeratkan hubungan dua hala melalui pertukaran pendidikan dan kebudayaan.
Usaha itu bertujuan untuk melengkapkan mereka dengan kemahiran mencipta produk kraf tangan, di samping memupuk lagi pertukaran budaya dan persefahaman antara Vietnam dan Negara Brunei Darussalam.

