Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 APRIL – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Pusat Kepimpinan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat telah mengadakan Bengkel ‘Solat seperti Rasulullah SAW’ sebagai pengisian aktiviti Bahagian Pelaburan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi sempena menjelangnya bulan Ramadan, baru-baru ini.
Bengkel tersebut disertai oleh seramai 28 orang peserta yang terdiri daripada pengarah urusan, pengurus kanan, pegawai kanan, pegawai-pegawai dan kakitangan Bahagian Pelaburan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi di Dewan Teater Bangunan Kementerian Kewangan dan Ekonomi.
Dijalankan selama setengah hari, bengkel disampaikan oleh tenaga pengajar Fakulti Syariah dan Undang-undang, Awang Hayatuddin bin Haji Moksin dan tenaga pengajar Fakulti Usuluddin, Haji Mohd Khairul Nazif bin Haji Awang Damit.
Antara tujuan bengkel berkenaan adalah untuk memberikan pengetahuan dan kefahaman tentang solat dan hukum-hakam yang berkaitan dengan solat, menghalusi bacaan dalam solat dan memahaminya serta memberikan panduan dan bimbingan dalam melaksanakan tatacara solat yang sempurna.
