Thursday, December 26, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel Stick’Em STEAM terokai bidang pendidikan

    Oleh Sim Y.H. –

    Tidak dapat dinafikan penguasaan para pelajar dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, seni dan matematik (STEAM) dapat menjadikan mereka lebih berdaya saing serta bersedia untuk menghadapi cabaran dunia yang pesat membangun.

    Ke arah melahirkan pelajar-pelajar holistik, Sekolah Chung Hwa Kiudang telah mengadakan bengkel Stick’Em STEAM yang bukan sahaja disertai oleh para pelajar tetapi juga pendidik-pendidik berlainan latar belakang untuk meneroka bidang STEAM yang menarik, baru-baru ini.

    Bengkel yang dirasmikan oleh Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Chong Chin Yee, itu telah dikendalikan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Stick’Em Singapura, Chong Ing Kai.

    Penekanan kepada pendidikan STEAM dalam memupuk individu holistik

    Pengetua Sekolah Chung Hwa Kiudang, Loo Shee Yun menekankan komitmen sekolahnya dalam menyediakan pendidikan yang inovatif dan holistik kepada pelajar-pelajar mereka.

    Beliau juga menekankan pentingnya pendidikan STEAM dalam melahirkan individu yang serba lengkap serta bersedia untuk menghadapi cabaran-cabaran pada masa hadapan.

    Yang Berhormat Chong Chin Yee menerima cenderahati daripada Loo Shee Yun semasa bengkel berkenaan. – Gambar serahan Sekolah Chung Hwa Kiudang
    Para pelajar mengambil bahagian dalam aktiviti amali semasa bengkel berkenaan. – Gambar serahan Sekolah Chung Hwa Kiudang
    Chong Ing Kai memberikan bimbingan dan tunjuk ajar semasa bengkel berkenaan. – Gambar serahan Sekolah Chung Hwa Kiudang
    Yang Berhormat Chong Chin Yee semasa bengkel Stick’Em STEAM yang diadakan di Sekolah Chung Hwa Kiudang, baru-baru ini. – Gambar serahan Sekolah Chung Hwa Kiudang
    Yang Berhormat Chong Chin Yee bergambar-ramai dengan para peserta semasa bengkel berkenaan. – Gambar serahan Sekolah Chung Hwa Kiudang

    Dalam hubungan itu, beliau berkata bengkel yang dikendalikan itu merupakan bukti dedikasi mereka kepada memupuk kreativiti, pemikiran kritikal dan cinta kepada pembelajaran dalam kalangan pelajar-pelajar mereka.

    “Kami yakin dalam kuasa pendidikan STEAM untuk melengkapkan minda muda kami dengan kemahiran yang diperlukan untuk berjaya dalam dunia yang terus berubah.”

    Pendidikan STEAM mempromosikan inovasi dan kreativiti

    Yang Berhormat Chong Chin Yee juga amat teruja dengan penganjuran bengkel di mana beliau yakin pendidikan STEAM dapat mempromosikan kreativiti dan inovasi dalam diri para pelajar.

    Beliau juga memuji komitmen Sekolah Chung Hwa Kiudang dalam usahanya untuk menyediakan pendidikan berkualiti bagi para pelajarnya serta berani mengambil langkah untuk memperkasakan lagi pelajar mereka menerusi pendidikan STEAM.

    “Kemahiran dan ilmu pengetahuan yang diperoleh menerusi disiplin-disiplin ini adalah amat bernilai dalam mempersiapkan kita bagi masa hadapan yang cerah,” tambahnya lagi sambil melancarkan bengkel yang melambangkan permulaan aktiviti yang dipenuhi dengan pembelajaran, penerokaan dan inspirasi.

    Membimbing para pelajar ke arah dunia penemuan

    Pengasas berwawasan dan Ketua Pegawai Eksekutif Stick’Em Singapura, Chong Ing Kai yang merupakan penceramah undangan bengkel berkenaan menerusi pembentangannya yang bertenaga mempamerkan kepada para peserta bagaimana gabungan seni dan teknologi boleh menjadikan mata pelajaran STEAM lebih menarik dan mudah untuk diterima.

    Pembentangnya yang digabungkan dengan aktiviti amali, membolehkan para pelajar untuk meneroka platform kreatif Stick’Em dan aplikasinya dalam senario dunia sebenar. Manakala itu, bagi guru-guru pula, mereka diberikan pengetahuan dan tunjuk ajar yang berguna dalam menjadikan pendidikan STEAM lebih interaktif serta menarik bagi pelajar-pelajar mereka.

    Memperkasakan minda pelajar dan pendidik

    Bengkel itu dikendalikan dalam dua sesi iaitu sesi pagi dan petang dengan sesi pagi menyaksikan penyertaan seramai 26 orang pelajar Tahun 4 hingga Tahun 6 yang diiringi oleh empat orang guru dari Sekolah Chung Hwa Kiudang di mana sesi interaktif berkenaan menyemarakkan semangat ingin tahu para pelajar serta membolehkan mereka untuk meneroka konsep STEAM dalam kaedah yang menarik.

    Sesi petang pula menyaksikan penyertaan seramai 14 orang pendidik daripada sekolah berlainan di mana mereka diberikan pendedahan yang bernilai mengenai kaedah untuk memasukkan pendidikan STEAM dalam kaedah pengajaran mereka.

    Menerusi bimbingan dan pengalaman amali yang diberikan kepada mereka, para pendidik telah dibekalkan dengan idea-idea menarik untuk menghidupkan lagi suasana pembelajaran di bilik darjah masing-masing.

    Hari penuh inspirasi dan pembelajaran

    Bengkel Stick’Em STEAM di Sekolah Chung Hwa Kiudang dilaksanakan de-ngan jayanya di mana ia menunjukkan komitmen sekolah serta pihak Stick’Em Singapura untuk mengembangkan lagi pendidikan STEAM di negara ini.

    Acara itu memperkasakan para pelajar dan pendidikan di mana mereka bersedia untuk menerima kemungkinan tanpa had yang ditawarkan oleh pendidikan STEAM. Mereka juga memperoleh pengetahuan yang baru, keghairahan serta visi bersama untuk mempersiapkan generasi akan datang bagi cabaran-cabaran serta peluang masa hadapan menerusi pendidikan STEAM.

    Usaha bersama itu dihasratkan untuk menjadi contoh bagi institusi pendidikan di seluruh negara untuk sama-sama membentuk masa hadapan yang lebih cerah dan inovatif bagi belia Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda