Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 31 JAN – Majlis Perundingan Kampung (MPK) Pekan Kuala Belait dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Perempuan (PKP), hari ini, telah mengadakan bengkel mengenai kepimpinan dan pengurusan yang dihadiri oleh belia dan pelajar dari Daerah Belait.
Semasa bengkel yang diadakan di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kampung Pandan itu, Pengiran Haji Zainal bin Pengiran Talib dan Hajah Kertini binti Orang Kaya Paduka Setia Diraja Abang Haji Abu Hanifah dapat berkongsi pandangan mereka mengenai kepimpinan dan pengurusan.
Kedua-dua penceramah jemputan berkenaan membincangkan tentang pemikiran dan teknik yang betul untuk menjadi seorang pemimpin, dengan banyak tip dan teknik yang dikongsikan berdasarkan pengalaman mereka selama bertahun-tahun sebagai ahli kanan dalam persatuan dan kumpulan yang pernah mereka ceburi.
Di samping itu, para belia yang hadir juga berpeluang mengemukakan soalan kepada penceramah jemputan untuk lebih memahami kemahiran kepimpinan dan pengurusan.