Saturday, February 22, 2025
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel tangani cabaran pemerdagangan manusia

    Oleh Fadley Faisal –

    BANGKOK, 21 FEB – Dua pegawai kehakiman dari Jabatan Kehakiman Negara dan dua penasihat undang-undang dari Pejabat Peguam Negara telah menyertai bengkel serantau mengenai pemerdagangan manusia di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

    Bengkel bertajuk Regional Workshop on Criminal Justice Response to Trafficking in Persons for Forced Criminality in the Southeast Asia Region itu dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Mengenai Jenayah dan Dadah (UNODC) dengan tajaan Kesatuan Eropah (EU).

    Program ini bertujuan untuk memperkukuhkan kapasiti pengamal undang-undang dalam menganalisis kes pemerdagangan manusia secara menyeluruh serta merangka cadangan bagi meningkatkan keberkesanan sistem keadilan jenayah.

    Fokus utama bengkel adalah menangani cabaran yang dibawa oleh jenayah terancang rentas sempadan yang memperdagangkan individu bagi tujuan eksploitasi seksual, buruh paksa dan jenayah paksa.

    Sepanjang bengkel, peserta diberikan maklumat terkini mengenai amalan terbaik dari negara-negara Asia Tenggara serta cabaran yang dihadapi dalam proses pendakwaan.

    Latihan turut diberikan mengenai penggunaan bukti hasil siasatan bagi memperkukuh kes pendakwaan dan menjamin keadilan bagi mangsa pemerdagangan manusia.

    Seramai 40 pengamal undang-undang dari sembilan negara mengambil bahagian dalam kursus dua hari tersebut. Bengkel itu juga menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa dalam membanteras pemerdagangan manusia serta memperkukuhkan respons terhadap semua bentuk eksploitasi.

    Para pegawai yang menyertai bengkel serantau mengenai pemerdagangan manusia di Bangkok, Thailand, baru-baru ini. – GAMBAR SERAHAN PEJABAT PEGUAM NEGARA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda