Thursday, April 17, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel tanpa kebenaran diarah henti

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 6 JULAI – Seorang pemilik rumah di Kampung Mentiri yang telah menukar penggunaan rumahnya menjadi bengkel telah diperintahkan untuk menghentikan aktiviti perindustrian pembuatan aluminium dan penyimpanan bahan binaan kerana telah melanggar Seksyen 23 (2) Perintah Perancangan Bandar dan Desa, 2015 (TCPO). 

    Jabatan Perancang Bandar dan Desa, Kementerian Pembangunan dalam kenyataannya menjelaskan kegiatan tersebut dilakukan tanpa kebenaran perancangan dan didapati tidak kemas serta tidak teratur yang boleh menimbulkan risiko berbahaya di sekitarnya. Tidak ada permohonan yang diterima oleh autoriti perancang untuk kegiatan yang akan dijalankan di premis tersebut.

    Menurut kenyataan itu, pemiliknya telah mematuhi perintah autoriti perancang untuk menghentikan aktivitinya dan telah membersihkan dan memulihkan penggunaan asal sebagai rumah kediaman sahaja pada Jun lalu.

    Sehubungan itu, mana-mana pembangunan termasuk perubahan penggunaan bangunan atau tanah tanpa Kebenaran Perancangan boleh menyebabkan bahaya dan menjejaskan keselamatan orang ramai. 

    Dalam pada itu, orang ramai diperingatkan untuk mematuhi undang-undang perancangan khususnya Seksyen 23 TCPO yang memperuntukkan tiada seorang pun boleh melaksanakan pemajuan atas tanah, memecah atau menyatukan mana-mana tanah atau melaksanakan apa-apa kerja dalam suatu kawasan pemuliharaan tanpa Kebenaran Perancangan. 

    Kesalahan berkenaan boleh dihukum denda maksimum $200,000 dan denda tambahan tidak melebihi $10,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabit kesalahan.

    Bagi sebarang aduan dan khidmat nasihat perancangan orang ramai bolehlah menghubungi hotline Jabatan Perancang Bandar dan Desa di talian 8200222 atau melalui e-mel tcp.aduan@tcp.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda