Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel tanpa kebenaran diarah henti operasi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Dua buah perusahaan besi buruk dan bengkel kenderaan yang terletak di Kampung Mulaut, Mukim Sengkurong telah diarah oleh Autoriti Perancang untuk menghentikan aktivitinya dan merobohkan bangunan tambahan kerana melanggar Seksyen 23 (2), Akta Perancangan Bandar dan Desa (TCPA), Bab 248 iaitu menjalankan aktiviti serta membina bangunan tambahan untuk aktiviti tersebut tanpa kebenaran daripada pihak perancang.

    Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), Kementerian Pembangunan dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan bahawa aktiviti berkenaan dijalankan di dua kawasan kediaman yang tidak sesuai untuk tujuan perindustrian.

    Kegiatan perindustrian yang dijalankan secara haram itu boleh mendatangkan risiko keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan sekitar. JPBD berkata mereka tidak pernah menerima permohonan untuk menjalankan aktiviti di premis tersebut.

    Selepas pemeriksaan, pemilik tanah berkenaan telah mematuhi arahan pihak berkuasa dengan menghentikan aktiviti dan memindahkan operasi ke kawasan perindustrian berhampiran. Pembangunan dan perubahan penggunaan tanpa kebenaran JPBD boleh mendatangkan bahaya dan menjejaskan keselamatan awam.

    Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya mematuhi undang-undang perancangan, khususnya Seksyen 23 TCPA yang memperuntukkan bahawa tiada sesiapa pun boleh menjalankan pembangunan, pecah bahagian atau penyatuan mana-mana tanah atau menjalankan apa-apa kerja di kawasan pemuliharaan tanpa kebenaran daripada Autoriti Perancang.

    Kegagalan mematuhi arahan berkenaan boleh dikenakan denda maksimum $200,000, dan denda tambahan sehingga $10,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

    Sebarang aduan dan nasihat perancangan, orang ramai boleh menghubungi talian hotline JPBD di 8200 222 atau melalui e-mel di tcp.aduan@tcp.gov.bn.

    ATAS & BAWAH: Gambar sebelum dan selepas bengkel dirobohkan kerana menjalankan kegiatan perusahaan tanpa kebenaran perancangan di Kampung Mulaut, Mukim Sengkurong. – GAMBAR SERAHAN JPBD
    GAMBAR SERAHAN JPBD

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda