Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Bahagian Kemajuan Syiar Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menganjurkan Bengkel Taranum Al-Quran bagi Peserta Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi, baru-baru ini.
Bengkel lima hari berturut-turut bermula pada 3 sehingga 7 Februari lalu di Dewan Melor, Tingkat 2, KHEU itu antaranya bertujuan bagi memastikan para qari dan qariah negara bersedia untuk mempersembahkan bacaan Al-Quran dengan lebih baik dan berkualiti tinggi untuk bersaing semasa Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah / 2025 Masihi yang akan diadakan pada penghujung April.
Tema musabaqah tahun ini adalah Akal Sihat Dengan Al-Quran.
Bengkel berkenaan telah dibimbing oleh seorang pembengkel jemputan dari Malaysia iaitu Che’ Yahaya bin Daud.
Beliau pernah menjadi hakim semasa Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 2015 di negara ini dan juga sering menjadi hakim di Majlis Tilawah Al-Quran di peringkat kebangsaan dan antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia.
Adapun objektif bengkel tersebut diadakan adalah bagi memperkasa bacaan qari dan qariah dengan kaedah-kaedah bacaan dan lagu-lagu Al-Quran yang segar dan berbeza daripada yang biasa diajarkan dan dibawakan di Nusantara, di samping mempelajari kekuatan dan kelemahan dalam bacaan Al-Quran dengan bertaranum serta mempraktikkan dan mendalami teknik-teknik bacaan semasa pertandingan nanti.
Bengkel tersebut juga memberi peluang kepada para peserta agar dapat memantapkan lagi mutu bacaan mereka secara terperinci termasuk dari sudut tajwid, fasahah, lagu dan suara.
Sementara itu, pada sebelah petangnya, majlis penutup bengkel telah diadakan di mana hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan), KHEU, Haji Shamsol bin Haji Omar.
Bengkel tersebut merupakan platform bagi para qari dan qariah negara untuk berlatih secara bersemuka dengan pembengkel yang memiliki kepakaran dalam bidang bacaan Al-Quran.
Adalah diharapkan usaha seumpama ini akan dapat menjadi benteng kekuatan iman dan akidah Islam dalam usaha memperkasa, memperteguh dan menyatukan generasi bangsa agar benar-benar memahami ajaran Al-Quran dan menghayatinya.