Saturday, June 29, 2024
23.4 C
Brunei

    -

    Bengkel terang tatacara tayamum bagi orang sakit

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Dalam mendapatkan pemahaman dan gambaran jelas tentang tatacara betul melaksanakan tayamum, seramai 176 orang jemaah Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, muslimah masjid dan orang ramai telah mengikuti Bengkel Penyempurnaan Tayamum dan Solat bagi Orang Sakit yang diadakan di masjid berkenaan kelmarin.

    Pemudah cara bagi bengkel tersebut ialah Pegawai Pelajaran, Awang Ahmad Syuja’iee bin Begawan Mudim Haji Matassim dan kakitangan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama iaitu Haji Mohd Emmarul bin Haji Azamain, Dayangku Nurajaimah binti Pengiran Ajak dan Dayang Sintan binti Haji Nordin.

    Bengkel juga bertujuan untuk menerangkan dengan lebih lanjut mengenai tatacara mendirikan solat bagi orang sakit atas sebab keuzuran yang tertentu yang membolehkan seseorang melakukan tayamum dan solat dalam keadaan seperti ketika ketiadaan air dan tidak mampu berdiri.

    Ia juga dihasratkan untuk menjadikan masjid sebagai salah sebuah pusat ilmu di samping untuk memberi peluang kepada orang ramai dalam memakmurkan masjid dengan majlis-majlis ilmu.

    Penyampaian sijil-sijil penghargaan dan penyertaan telah disempurnakan oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Zulkifli bin Haji Murat.

    Bengkel yang diungkayahkan oleh Jawatankuasa Takmir Masjid Omar ‘Ali Saifuddien itu diharapkan dapat menjawab tentang kekeliruan dan kefahaman tatacara tayamum dan solat bagi orang sakit kepada orang ramai amnya, dan para peserta khususnya.

    Antara pembentangan dalam bengkel berkenaan. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    ATAS & BAWAH : Sebahagian dari peserta yang hadir. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China pecat bekas menteri pertahanan

    BEIJING, 28 JUN - Bekas menteri pertahanan China, Li Shangfu telah dipecat daripada Parti Komunis yang memerintah kerana menyebabkan ‘kerosakan besar kepada puncanya’ melalui...