Oleh Daniel Lim
BELAIT, 26 JUN – Satu bengkel telah diadakan di Kelab Rekreasi Brunei Shell (BSRC) kelmarin, bagi merangka peluang baharu dalam pertumbuhan ekonomi Daerah Belait, menerusi kerjasama erat antara pihak berkepentingan sektor awam dan swasta.
Bengkel Opportunity Framing Workshop yang dianjurkan oleh Kumpulan Kerja Komuniti Perniagaan Daerah Belait (BDBC) tersebut berjaya membentangkan lebih 30 cadangan penyelesaian merangkumi tujuh bidang tumpuan utama.
Antaranya termasuk Ekonomi Pengetahuan dan Digital, Pelancongan dan Hospitaliti, Tenaga Boleh Diperbaharui dan Ekonomi Hijau, Sukan, Budaya dan Warisan, Infrastruktur, Logistik dan Perkhidmatan, Agribisnes dan Pemprosesan Agro, serta Pemulihan Aset dan Infrastruktur Lama.
Ahli BDBC, Dannie Azurra bin Hj Abu Basrah memaklumkan bahawa cadangan-cadangan tersebut turut mengambil kira maklum balas yang dikumpulkan daripada masyarakat umum menerusi tinjauan dalam talian yang diterbitkan pada Mac 2025 melalui laman media sosial khusus bernama Revitalise Belait.
“Kumpulan kerja ini dibentuk hasil langsung daripada dialog meja bulat bersama komuniti perniagaan Belait yang diadakan pada 12 Disember 2024, anjuran Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) dan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua serta Pengerusi BEDB, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah” jelasnya.
“Kami menerima banyak maklum balas positif menerusi tinjauan tersebut – bukan sahaja daripada komuniti Belait, malah daripada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan serta rakyat dari seluruh Brunei Darussalam. Ini menunjukkan keinginan masyarakat untuk melihat potensi Belait dimajukan,” tambah beliau.
Pernyataan peluang yang dikenal pasti akan disusun dalam satu laporan dan diserahkan kepada pihak kerajaan yang berkaitan bagi membimbing tindakan bersama serta menyokong penciptaan peluang sektor swasta.
Keutamaan akan diberikan kepada inisiatif yang menekankan kelestarian dan penjanaan hasil demi merangsang pertumbuhan sektor swasta serta peluang pekerjaan di daerah tersebut.
Peluang yang dibentangkan juga sejajar dengan sektor keutamaan di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Brunei dan menyokong agenda pemelbagaian ekonomi negara.
“Ia merupakan satu pengalaman yang menyegarkan kerana dapat menyertai kumpulan kerja ini – satu platform kerjasama bersama pihak berkepentingan utama untuk memacu perubahan bermakna di daerah kita,” kata Masrhiem Taufik, pemilik sebuah syarikat kejuruteraan berpengkalan di Belait.
Seorang lagi peserta dan usahawan Belait, Hayley Fazilah turut berkongsi pandangan serupa, “Apa yang menyerlah adalah semangat positif sepanjang bengkel ini. Kita pernah menghadapi pelbagai cabaran, namun kita perlu lebih tabah dan terus melangkah ke hadapan.”
Bengkel berkenaan turut disertai oleh pelbagai pihak termasuk perniagaan tempatan, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), dewan dan persatuan perniagaan, organisasi belia serta pemimpin akar umbi.
BDBC dijangka akan menganjurkan bengkel dan sesi kumpulan fokus tambahan pada masa akan datang bagi membuka lebih banyak ruang penyertaan orang ramai.
Semua di atas: Antara suasana semasa bengkel berkenaan.

