Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan JPD
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OKT – Sebanyak 17 buah bengkel telah diperiksa dan dikenal pasti menjalankan operasi tidak berdaftar manakala enam didenda $500 dan sebuah lagi $200 di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Kecil Penggal 30 Bab 12 (1) kerana aspek kebersihan bangunan dan sekitar premis dalam salah satu operasi pemeriksaan dijalankan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) dan beberapa agensi-agensi kerajaan pada 28 dan 30 September, 6 dan 8 Oktober lalu menurut kenyataan JPD hari ini.
Pemeriksaan susulan sidang media mengenai langkah-langkah diambil oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokumunikasi berikutan kejadian kenderaan-kenderaan terbakar di negara ini pada 5 Oktober lalu.
Ia dikendalikan oleh JPD berserta agensi-agensi berkenaan termasuklah Unit Sukatan dan Timbangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Pe-rancang Bandar dan Desa dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan; Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan.
Hasil daripada pemeriksaan berkenaan mendapati bahawa bengkel-bengkel tersebut disahkan tidak berdaftar dengan JPD dan tidak melalui proses pengiktirafan bengkel, tidak layak untuk diberi pengiktirafan bengkel bagi Kelas A, B atau C mengikut tahap perkhidmatan yang diberikan, tidak menunjukkan sebarang sijil yang sah, terdapat kenderaan-kenderaan terbiar di persekitarannya dan mengendalikan kerja-kerja ubahsuai atau baik pulih enjin atau badan kenderaan yang tidak diketahui tahap kepakarannya.
Pemeriksaan juga mendapati bengkel-bengkel terbabit tidak mempunyai piawaian atau pengiktirafan dari segi keselamatan, kesihatan dan alam sekitar, keadaan premis dan bangunan tidak bersih dan teratur, pembuangan minyak atau peralatan-peralatan ganti tidak teratur, keadaan bangunan yang mungkin memerlukan pemeriksaan agensi-agensi berkenaan dan kerja-kerja pendawaian serta peralatan elektrik dikendalikan oleh beberapa bengkel kenderaan yang tidak diketahui tahap kepakarannya.
Kesalahan lain termasuklah pengambilan tenaga kerja yang tidak jelas dari segi kepakaran, peratus pengambilan pekerja asing yang melebihi pekerja tempatan, penggunaan peralatan-peralatan yang tidak diperiksa dari segi tahap keselamatan dan kesesuaiannya, tidak mengamalkan amalan pemakaian alat pelindung diri (PPE) bersesuaian
dengan aktiviti kerja, tidak mempunyai tempat penyimpanan kimia (bahan berbahaya) dan alat atau perkakas yang bersesuaian, keadaan alat amaran seperti break glass/alarm tidak berfungsi serta terhalang, alat-alat pemadam api dalam keadaan mansuh, peralatan-peralatan berkenaan yang tidak pasti dikalibrasi atau mengikut peraturan Unit
Sukatan dan Timbangan, tempat-tempat penyimpanan tidak diperbuat daripada bahan tahan api, pengubahsuaian bangunan tanpa kebenaran seperti tambahan ofis atau tempat tinggal, pembuatan infrastruktur bagi tempat tinggal adalah diperbuat daripada bahan yang mudah terbakar seperti papan lapis, kebersihan dalam dan luar bengkel kurang memuaskan (housekeeping) serta tatacara menyimpan tong minyak terpakai yang kurang betul (containment bund dan sheltered).
Pihak JPD dan agensi-agensi berkenaan masih menjalankan penyiasatan dan penganalisisan hasil maklumat-maklumat yang diperoleh daripada pemeriksaan yang dijalankan setakat ini.
Kenyataan menyatakan bahawa berdasarkan penilaian awal mengikut skim pengiktirafan bengkel JPD, daripada sebanyak 17 buah bengkel yang telah diperiksa setakat ini, tiada bengkel yang memenuhi kriteria penilaian Bengkel Kelas A, dua buah bengkel memenuhi kriteria penilaian Bengkel Kelas B dan selebihnya iaitu 13 buah boleh dipertimbangkan untuk pengiktirafan Bengkel Kelas C. Penilaian terperinci perlu dibuat untuk memastikan dapatan ini.
JPD dan agensi-agensi berkenaan juga mengeluarkan teguran dan nasihat bertulis dan memberi tempoh kepada pemilik-pemilik membuat tindakan penambahbaikan atau remedial action plan dalam satu jangka masa yang tertentu.