BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Kullu Nafsin Zaiqatul Maut, setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati dan setiap kematian memerlukan pengurusan yang sempurna. Pengurusan jenazah merupakan fardu kifayah yang perlu difahami serta dipraktikkan oleh masyarakat Islam.
Sehubungan itu, seramai 95 peserta, terdiri daripada 35 peserta lelaki dan 60 peserta perempuan, menghadiri bengkel pengurusan jenazah anjuran ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Universiti, Universiti Brunei Darussalam (UBD), baru-baru ini.
Peserta lelaki melibatkan ahli jawatankuasa takmir dan jemaah lelaki, manakala peserta perempuan terdiri daripada Muslimah Masjid Universiti, wakil Muslimah dari Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Masjid Kampung Mata-mata dan Masjid Beribi.
Hadir selaku tetamu kehormat sekali gus menyampaikan sijil kepada peserta bengkel ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Awang Mohammad Ali bin Tanjong.

Dengan berakhirnya bengkel tersebut, penganjur berharap matlamat memberi pendedahan mengenai kepentingan pengimarahan masjid dapat dicapai. Bengkel tersebut juga diharap dapat memperluas pengetahuan masyarakat mengenai pengurusan jenazah serta menjawab persoalan yang sering timbul berkaitan isu tersebut dalam kalangan masyarakat di Negara Brunei Darussalam.
Ia turut memberikan pendedahan teori dan praktikal mengikut syariat Islam, di samping memperkukuh ilmu agar peserta lebih bersedia tampil membantu menyempurnakan jenazah termasuk ahli keluarga sendiri.
Bengkel itu turut bertujuan memupuk keyakinan peserta untuk menceburi bidang pengurusan jenazah serta meningkatkan ketakwaan melalui peringatan tentang kematian. Penganjuran itu diharap menjadi perintis ke arah melahirkan masyarakat beriman, berilmu dan bertakwa.


