Friday, August 19, 2022
24.2 C
Brunei

Bengkel tingkat kemahiran analisis data

-

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OKT – Dengan matlamat untuk membincang dan mengenal pasti penyelesaian bagi keperluan kemahiran analisis data, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN BAC) Negara Brunei Darussalam mengadakan bengkel maya bersama para majikan sebagai sebahagian daripada program rintis projek warisan ASEAN BAC Brunei, HIRED (Harnessing Impact with Resilient Employability Digitally), kelmarin.

Menurut ASEAN BAC Brunei, projek itu dikendalikan dengan kerjasama Jabatan Perdagangan Antarabangsa United Kingdom (UK) dengan sokongan Majlis Perniagaan UK-ASEAN. Pada bengkel itu, kata alu-aluan telah disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe, Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof dan Pengerusi ASEAN BAC Brunei, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman.

Di samping itu, Ketua Sekretariat Majlis Perancangan Tenaga Manusia dan Pekerjaan (MPEC), Dr Hajah Siti Haziah binti Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin dan Pemangku Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa bagi Teknologi Infokomunikasi Brunei (AITI) dan juga Ketua Bersama Jawatankuasa Pandu Industri Tenaga Kerja (MISC) IT, Haji Jailani bin Haji Buntar turut mengambil bahagian dalam bengkel berkenaan dengan memberikan gambaran mengenai keperluan industri dan sumber manusia Negara Brunei Darussalam.

Bengkel itu bermatlamat untuk menyediakan kefahaman mengenai standard profesional, keperluan kompeten dan peluang-peluang kemahiran berdasarkan keperluan para majikan bagi analisis data.

Kenyataan menyatakan bahawa peranan penganalisis data amat diperlukan di seluruh dunia dan sedang mengalami kekurangan penawaran sekarang. TYT John Virgoe dipetik berkata sebagai rakan dialog baharu ASEAN dalam tempoh 25 tahun, UK amat berbesar hati diberikan peluang untuk menyokong HIRED dengan meningkatkan keupayaan data analisis serantau yang merupakan kunci kepada penjanaan pekerjaan serta pertumbuhan mampan.

Semasa bengkel berkenaan, sebilangan besar majikan mengetengahkan keperluan bagi kemahiran lembut supaya dapat menyampaikan data dengan lebih jelas untuk memberikan gambaran yang tepat. Selain itu, perbincangan juga mengetengahkan analisis data untuk meramal trend masa hadapan serta membantu membuat keputusan.

Projek warisan HIRED menumpu kepada penyediaan peluang bagi program-program mentor dan latihan digital dalam tenaga kerja ASEAN masa kini dan bagi mereka yang tidak mempunyai pekerjaan untuk meningkatkan serta mendapatkan kemahiran baharu supaya mereka kekal relevan dalam keperluan kemahiran industri hari ini.

Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty menekankan bahawa adalah amat penting bagi perniagaan dan kerajaan untuk bekerjasama bagi memastikan mereka mengambil langkah-langkah yang diperlukan ke arah menjana tenaga kerja yang lebih lengkap.

Pelan Induk Ekonomi Digital Negara Brunei Darussalam 2025 di bawah Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi menggariskan strategi-strategi untuk menjadi sebuah negara pintar dengan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan digital tatkala negara bergerak menuju negara Wawasan 2035 yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty bersama tetamu lain pada bengkel maya anjuran HIRED baru-baru ini. – Gambar serahan ASEAN BAC Brunei
- Advertisment -

DISYORKAN UNTUK ANDA

Darurat banjir di wilayah pulau selatan New Zealand

WELLINGTON, 18 OGOS – Wilayah Pantai Barat dan Nelson-Tasman di Pulau Selatan New Zealand dilanda hujan lebat dan banjir. Darurat tempatan masih kekal di kawasan...
- Advertisment -