Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel tingkat kesedaran isu buli dalam institusi pendidikan

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Sebagai sebahagian daripada usaha berterusan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang selamat, berempati dan kondusif di semua institusi pendidikan, Kementerian Pendidikan telah mengadakan sesi pertama Bengkel Rangka Kerja Dasar mengenai Pendekatan Pendidikan Secara Menyeluruh bagi Mencegah dan Menangani Isu Buli yang berlangsung di Dewan Utama, Kementerian Pendidikan, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin.

    Seramai 100 orang terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan dari agensi-agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menghadiri bengkel berkenaan.

    Pada majlis berkenaan, ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), Kementerian Pendidikan, Pengiran Dr Mohamad Iskandar bin Pengiran Haji Petra.

    Bengkel itu turut diisi dengan taklimat yang menumpukan kepada isu buli dari pelbagai perspektif dengan taklimat bertajuk Buli dalam Konteks Maqasid Al-Syari’ah yang disampaikan oleh Ra’es Kolej Univeristi Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani.

    Profesor Madya Dr Abdul Nasir menyampaikan taklimat semasa bengkel tersebut. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Pengiran Dr Mohamad Iskandar menyampaikan ucapan alu-aluan semasa bengkel berkenaan. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN
    Dr. Hajah Nor Zaiham Midawati menyampaikan taklimat semasa bengkel tersebut. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN

    Seterusnya, taklimat bertajuk Memahami Lanskap Buli di dalam Pendidikan yang telah disampaikan oleh Pemangku Ketua Bahagian Kaunseling, Kementerian Pendidikan, Dr Hajah Nor Zaiham Midawati binti Haji Abdullah.

    Bengkel diakhiri dengan taklimat bertajuk Amalan Terbaik bagi Menangani School Related Gender Based Violence (SRGBV) di Peringkat Global (Secara dalam talian) yang disampaikan oleh Perwakilan Pejabat Serantau UNESCO di Jakarta ke Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Timor Leste, Puan Yang Terutama Maki Katsuno-Hayashikawa.

    Bengkel tersebut bermatlamat untuk memperkukuh kerjasama rentas agensi, penyelarasan intervensi pencegahan dan respon terhadap insiden buli serta membantu pihak-pihak berkepentingan di Kementerian Pendidikan untuk membina rangka kerja pendekatan bersepadu dan komprehensif bagi menangani isu buli di institusi pendidikan pada setiap peringkat pengajian.

    Bengkel tersebut bakal dianjurkan oleh Pejabat Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Korporat), Kementerian Pendidikan dengan sesi kedua bengkel berkenaan, yang memberi penekanan khusus kepada pembinaan rangka kerja pada 30 Ogos nanti.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda