Oleh Daniel Lim –
BELAIT, 4 OGOS – Para pelajar Tahun 9 dalam jurusan Sains Marin dari Maktab Anthony Abell (AAC), Seria, telah berpeluang untuk mengambil pengalaman secara langsung berkenaan usaha dan inisiatif pemeliharaan serta pemuliharaan terumbu karang laut dalam satu taklimat dan bengkel yang diadakan di dewan sekolah pada 2 Ogos lalu.
Bengkel tersebut telah dikendalikan oleh wakil jemputan dari Reef Check Brunei, yang bukan sahaja membawa peralatan dan alat penting, tetapi juga berkongsi kepakaran serta kemahiran yang digunakan dalam usaha pemuliharaan ekosistem terumbu karang laut.
Pengetua AAC, Steven Shim Sheau Huei, menjelaskan bahawa bengkel tersebut dijalankan dengan tujuan bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman dalam kalangan pelajar Sains Marin mengenai kepentingan pemeliharaan terumbu karang.
Tambah beliau, bengkel itu turut memberikan peluang kepada para pelajar untuk memperkukuhkan pemahaman mereka mengenai topik berkaitan ekosistem laut, spesies hidupan marin dan pemeliharaan biodiversiti dasar laut seperti terumbu karang, yang merupakan sebahagian daripada sukatan pelajaran Cambridge IGCSE Sains Marin.
“Selain itu, bengkel itu turut memberi pendedahan kepada pelajar tentang biodiversiti marin di Brunei Darussalam serta menyokong usaha sekolah dalam meningkatkan kesedaran pelajar dan juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) – Matlamat 14: Hidupan di bawah air,” ujar beliau.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk taklimat ringkas oleh Reef Check Brunei mengenai peranan mereka dalam pemuliharaan, pemulihan dan perlindungan terumbu karang.
Seterusnya, para pelajar telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menyertai pelbagai aktiviti serta mengunjungi pameran yang disediakan oleh kumpulan jemputan bagi mengetahui lebih lanjut tentang inisiatif dan usaha pemuliharaan yang sedang dijalankan.
Pihak sekolah berharap bengkel ini dapat membantu para pelajar untuk berinteraksi dengan pihak berkepentingan dalam menyediakan pendidikan berkualiti serta membuka peluang kerjaya baharu kepada pelajar yang berminat dan beraspirasi dalam bidang berkaitan pada masa hadapan.




