BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JULAI – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Islam, Republik Maldives baru-baru ini telah menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Kompetensi Imam dan Daie Republik Maldives 2024 bagi 20 peserta yang terdiri daripada pegawai kanan, imam dan daie Republik Maldives.
Bengkel tersebut diadakan dari 17 hingga 22 Julai lalu di kampus UNISSA, Gadong.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi merasmikan majlis tersebut ialah Rektor UNISSA, Dato Seri Setia Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal. Turut hadir ialah pegawai-pegawai eksekutif UNISSA serta para fasilitator yang terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang usuluddin dan syariah UNISSA.
Bengkel itu diadakan antara lain bertujuan untuk memberi peluang kepada para imam dan daie Republik Maldives memperdalam dan memantapkan lagi kefahaman mereka tentang ilmu-ilmu Islam, membina keterampilan serta mempertingkatkan kompetensi dan jati diri masing-masing.
Menerusi bengkel ini, para imam dan daie didedahkan akan kepentingan memikul dan melaksanakan amanah Allah dalam memimpin, menyebarkan serta mengukuhkan pegangan akidah, syariah dan syiar Islam dalam jiwa masyarakat lebih-lebih lagi dengan situasi dunia masa kini yang semakin mencabar.
Pihak UNISSA juga mengatur beberapa aktiviti lawatan sepanjang mereka berada di sini seperti lawatan ke Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Masjid Omar Ali Saifuddien, Masjid Ash-Shaliheen, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Pusat Sejarah Brunei, Muzium Alat Kebesaran Diraja, Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien dan dibawa mengelilingi Daerah Temburong.
Menerusi lawatan yang diaturkan, delegasi dapat mempelajari sedikit sebanyak tentang budaya dan sejarah Brunei melalui taklimat yang disampaikan oleh pegawai yang berkenaan.
Delegasi juga berkesempatan membuat lawatan ke Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah (ITQSHHB) bagi menyaksikan sendiri suasana pembelajaran dan aktiviti hafazan para pelajar ITQSHHB. Bengkel ditutup dengan majlis penyerahan sijil penghargaan kepada peserta dan fasilitator pada 21 Julai lalu di salah sebuah hotel di Gadong.






