Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 APRIL – Dengan peningkatan kes penipuan dan penyebaran berita yang tidak sahih dalam talian yang kebanyakannya membabitkan golongan warga emas dan pesara, Bengkel Literasi Media Digital Wise Elders telah diadakan di Hotel J, Kiulap, hari ini.
Bertujuan memupuk kesedaran dan pengetahuan dalam penggunaan platform media, Global Awareness & Impact Alliance (GAIA) telah mengambil inisiatif bengkel berkenaan yang menyasarkan golongan warga emas dan pesara untuk memahami media digital dengan lebih baik.
Sementara itu, Penolong Pengurus Projek, Dayang Nor Amirah Aziyah Hasdy, dalam temu bual media berkata penganjuran bengkel dalam literasi media digital ini sangat penting untuk memberi pengetahuan dan kesedaran kepada golongan yang sering menjadi sasaran dalam penipuan dalam talian.
“Dengan adanya bengkel ini, ianya sedikit sebanyak mengajar cara untuk membezakan dan mengenal pasti maklumat dan berita palsu serta teks berunsur penipuan,” jelasnya. Sementara itu, peserta bengkel, Haji Ibrahim bin Ismail turut mengongsikan pandangannya semasa menghadiri bengkel itu.
“Dengan perkembangan teknologi yang semakin berkembang pesat, adalah penting untuk mempelajari dan menimba ilmu dalam media digital ini,” jelasnya.
Disebabkan meminati bidang teknologi, beliau telah mengambil peluang yang diberikan kerana menyedari pada masa ini banyak golongan yang berusia menjadi sasaran penipuan dalam talian yang kebanyakannya melibatkan kewangan. “Bengkel ini amat penting dan berguna bagi mengelakkan terjebak dalam penipuan dalam talian,” jelasnya.
Manakala seorang lagi peserta bengkel, Hajah Sopiah binti Haji Husaini pula mengongsikan penyertaannya dalam bengkel ini adalah untuk mengetahui dengan lebih jelas perbezaan berita yang sahih dan yang palsu. Menurutnya, warga emas perlu berwaspada terutama dalam penggunaan media digital, memandangkan golongan ini sering menjadi sasaran kepada penipuan.
Selain itu, beliau menjelaskan pernah menjadi mangsa penipuan apabila membeli barang dalam talian, dan mendapati laman sesawang tersebut adalah scam, dan dengan adanya bengkel seumpama ini, ia memupuk kesedaran terutama kepada golongan warga emas agar tidak lalai dan mudah terjebak dengan berita yang tidak betul dan penipuan dalam talian.
Walaupun sudah berusia, jelasnya, adalah perlu juga untuk sentiasa mengikuti perkembangan teknologi, jangan ketinggalan untuk menimba ilmu seiring dengan perubahan semasa.