Oleh Nurdiyanah R.
TUTONG, 18 DIS – Dalam usaha meningkatkan daya kemahiran kreatif menerusi bidang pembuatan seni kraf tangan asli, Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong telah menyertai Bengkel Bersama Randi Julian Miranda anjuran Eco Ponies Garden bertempat di Eco Ponies Garden, Jalan Bukit Sulang, Kampung Lamunin, Daerah Tutong, baru-baru ini.
Bengkel yang disampaikan oleh Randi selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Handep Haruei, Kalimantan, Indonesia itu lebih menumpukan kepada usaha kerajinan tangan bagi mewujudkan pembangunan ekonomi kampung yang mampan selaras dengan nilai-nilai tradisi dan kepakaran asli tempatan dengan penciptaan nilai tambah berasaskan sumber-sumber alami yang ada di persekitaran berteraskan sustainable premium crafts.
Menurut Pengerusi Kumpulan IMPAK Penggerak Belia Daerah Tutong, Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan menjelaskan walaupun masa agak terhad namun sedikit sebanyak para belia yang menyertainya dapat menimba ilmu dan pengalaman berguna, lebih-lebih lagi dengan adanya perkongsian penuh inspirasi daripada salah seorang pejuang seni kraf tangan asli yang terkenal di negara jiran seperti dalam memperkasakan pelbagai produk anyaman rotan dengan daya kreatif dan inovasi sehingga menghasilkan fesyen mesra alam yang penuh elegan seperti beg, topi, bakul dan sebagainya.
“Menerusi bengkel ini, ia telah banyak membuka minda kami bahawa meskipun zaman semakin moden namun apa yang pastinya kita perlu menghargai dan menjaga sumber alam dengan sebaik-baiknya.
“Namun memelihara khazanah budaya dan tradisi itu turut menjadi tanggungjawab kita bersama selaku golongan belia agar ia dapat diwarisi daripada satu generasi ke generasi seterusnya,” ujarnya.
Adapun ungkapan ‘Handep Haruei’ dipinjam daripada dialek Dayak Ngaju.
Handep ialah budaya bekerjasama dan tolong-menolong dalam masyarakat, manakala Haruei bermaksud keluarga.
Oleh itu Handep Haruei secara keseluruhannya bermaksud semangat bekerjasama dan membantu antara satu sama lain sebagai sebuah keluarga.
