Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel tumpu kewangan hijau, kecekapan tenaga

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 DIS – Suruhanjaya Tinggi British di Brunei Darussalam dan Ernst & Young, dengan kerjasama Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) telah berjaya menyampaikan beberapa siri bengkel mengenai kewangan mampan pada tahun ini.

    Siri bengkel enam bahagian itu adalah sebahagian daripada Program Tenaga Karbon Rendah ASEAN (ASEAN LCEP) oleh Pejabat Luar Negara, Komanwel dan Pembangunan (FCDO) United Kingdom.

    Program itu menyokong pembangunan tenaga karbon rendah merentasi negara rakan kongsi dalam rantau ASEAN, dengan tumpuan kepada kewangan hijau dan kecekapan tenaga.

    Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama John Virgoe dalam kenyataan akhbar dipetik berkata, “Suruhanjaya Tinggi British berbangga untuk memainkan peranan dalam membantu Brunei mencapai cita-cita iklimnya yang dibuat pada COP26 di Glasgow yang termasuk mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050.

    “Saya berharap bengkel kewangan mampan ini akan membantu Brunei menyampaikan beberapa daripada 10 strategi utamanya daripada Dasar Perubahan Iklim Kebangsaan untuk membentuk masa depan yang rendah karbon dan berdaya tahan iklim,” tambahnya.

    BDCB, dalam mengiktiraf peranan sektor kewangan dalam menyumbang kepada aspirasi kemampanan Brunei Darussalam ke arah membuka laluan karbon rendah dan berdaya tahan iklim untuk negara yang mampan, secara berterusan mengukuhkan kapasiti dan keupayaan industri kewangan dalam menguruskan risiko berkaitan iklim.

    Untuk tujuan itu, BDCB juga menyokong peningkatan penggunaan kewangan mampan.

    Siri bengkel tersebut menangani isu-isu utama dan menyediakan panduan amalan baik tentang cara menggabungkannya ke dalam proses pengurusan risiko dan model perniagaan organisasi.

    Topik tematik yang diliputi semasa bengkel berkenaan termasuklah ‘Memahami Risiko Kewangan Berkaitan Iklim dan Mengurus Pendedahan’; ‘Pendedahan berkaitan iklim’; ‘Pengurusan Risiko Iklim’; ‘Analisis Senario Iklim’; ‘Pengeluaran (Issuance) Bon Mampan’; dan ‘Pengenalan kepada Pengurusan Risiko Alam Sekitar dan Sosial (ESRM)’.

    Siri bengkel yang telah dijalankan dalam tempoh lima bulan itu menyaksikan keseluruhan kehadiran lebih 300 peserta daripada pelbagai institusi kewangan seperti perbankan, penanggung insurans (insurers), dan penyedia perkhidmatan pasaran modal serta agensi-agensi kerajaan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda