Bengkel tumpu strategi ke-5

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 SEPT – Seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada pihak-pihak yang berkepentingan dalam sektor tenaga elektrik yang merangkumi agensi-agensi kerajaan dan swasta menghadiri Bengkel Pasukan Petugas Dokumen Operasi bagi Dasar Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam yang tertumpu kepada Strategi ke–5 iaitu Pengurusan Tenaga.

Bengkel dua hari, bermula hari ini, yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) itu dirasmikan oleh Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Tenaga dan Kuasa Elektrik) di Kementerian Tenaga, Awang Mohammad Nizam bin Haji Ismi.

Objektif bengkel adalah bagi membincangkan langkah-langkah pengurangan pelepasan gas rumah hijau daripada penjanaan tenaga elektrik dengan memfokuskan kepada peningkatan kecekapan dan penjimatan tenaga dari segi perbekalan dan permintaan.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau daripada penjanaan tenaga sekurang-kurangnya 10 peratus menjelang 2035.

Peserta bengkel juga berpeluang untuk membincangkan perkara-perkara yang berkaitan dengan tatacara pengurangan pelepasan gas rumah hijau dalam penjanaan kuasa elektrik dari sudut pengguna dan pembekal.

Bengkel tersebut dianjurkan oleh JPE, Kementerian Tenaga sebagai agensi peneraju bagi Strategi ke-5 dan disokong oleh Urus Setia Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam.

Awang Mohammad Nizam bergambar ramai bersama para peserta bengkel berkenaan.