Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Seramai 20 orang jurnalis wanita dan profesional media dari Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Malaysia menyertai Bengkel Aktiviti Latihan Serantau bagi Memperkasakan Jurnalis Wanita bagi Melaporkan Krisis yang berlansung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Bengkel selama tiga hari yang bermula 21 Oktober hingga 23 Oktober dianjurkan oleh Asia-Pacific Institute for Broadcasting Development (AIBO) dengan kerjasama UNESCO’s International Programme for the Development of Communication (IPDC) dan Radio Televisyen Brunei (RTB).
Bengkel itu disertai oleh peserta-peserta yang mewakili organisasi kerajaan dan swasta di mana ia bermatlamat untuk mengukuhkan keupayaan para peserta untuk melapor secara selamat, beretika dan efektif semasa krisis seperti bencana alam, kecemasan kesihatan dan situasi konflik.
Hadir pada majlis perasmian berkenaan ialah Pemangku Pengarah Radio Televisyen Brunei, Awang Cheong Chee Keong. Turut hadir ialah Pemangku Pengarah Jabatan Penerangan, Dayang Siti Bismi Nuruliman binti Haji Awang Emzah.

Dalam kata alu-aluannya, Awang Cheong Chee Keong mengetengahkan peranan kritikal jurnalis wanita dan mengambil maklum inisiatif itu datang pada waktu yang penting di mana wanita di serata Asia Tenggara terus membawa kisah-kisah berpaksikan manusia, tepat pada masanya dan lurus daripada barisan depan krisis.
Beliau juga merakamkan harapan para peserta akan kembali ke organisasi masing-masing dengan pelan tindakan konkrit untuk meningkatkan amalan keselamatan dan memupuk bilik berita yang lebih inklusif.
Beliau turut memuji dedikasi jurnalis yang bertugas dalam persekitaran mencabar dan mengucapkan terima kasih kepada AIBD, UNESCO-IPDC serta para fasilitator bagi kepakaran dan kerjasama kuat mereka.
Para peserta bengkel berkenaan akan menerima latihan praktikal mengenai protokol keselamatan, pengurusan trauma dan laporan inklusif jantina, sambil mengongsi pengalaman dan meneroka strategi untuk mengukuhkan sistem sokongan bilik berita.
Program itu adalah selaras dengan Paduan Keselamatan bagi Jurnalis UNESCO dan menyokong komitmen berterusan AIBD kepada keselamatan jurnalis.

