Wednesday, October 16, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bengkel untuk penunggang motosikal

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Ogos – Kelab Motosikal Veteran (VMC) dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Keselamatan Jalan Raya (MKKJR) dan Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) akan mengendalikan Bengkel Sistem Bermotor/SIKAL SIAP SIAGA 2017 pada 23 dan 24 Ogos ini di Dewan Amar Pahlawan, Kementerian Perhubungan.

    Ia bertujuan untuk menyahut khidmat nasihat dan pandangan daripada MKKJR dan JPD demi kebaikan para penunggang motosikal yang ada di Negara Brunei Darussalam ini.

    Perkara berkenaan telah dijelaskan oleh Pengerusi Bengkel Sistem Bermotor / SIKAL SIAP SIAGA 2017, Awang Mu’adz bin Haji Abdul Hamid semasa sidang media mengenainya di Tingkat 2, Bilik Persidangan, JPD, Mata-Mata, hari ini.

    Juga hadir pada sidang media berkenaan ialah Pemangku Pengarah JPD, Awang Ali bin Haji Matusin; Penolong Pengarah MKKJR dan Lesen Ujian Memandu JPD Sungai Akar, Haji Johari bin Haji Abdul Karim dan Pegawai Penguat Kuasa Kanan JPD, Pengiran Khairul Yusra bin Pengiran Haji Mohd Yussof.

    Di sidang media berkenaan juga, Awang Mu’adz menjelaskan bahawa bengkel berkenaan bertujuan untuk menerapkan pembelajaran kepada para peserta bengkel itu nanti tentang undang-undang dan peraturan jalan raya yang telah dikemaskinikan oleh MKKJR dan JPD.

    Awang Mu’adz ketika menerangkan mengenai bengkel berkenaan di sidang media tersebut.
    Pemangku Pengarah JPD ketika sesi soal jawab sidang media Bengkel Sistem Bermotor/SIKAL SIAP SIAGA 2017.

    Seramai 20 orang peserta akan mengikuti bengkel berkenaan yang terdiri daripada ahli-ahli Kelab Motosikal Veteran, kelab-kelab motosikal Brunei, syarikat-syarikat perkhidmatan penghantaran dan penunggang motosikal berseorangan.

    Dalam bengkel itu nanti, pihak MKKJR dan JPD akan berperanan menyampaikan taklimat mengenai SiKAP, Prosedur Operasi Standard dan Kurikulum Motosikal.

    Selain itu, paramedik juga akan memberikan sedikit sebanyak penerangan kepada para peserta mengenai langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku sebarang kemalangan.

    Awang Mu’adz juga menjelaskan bahawa peserta bengkel juga akan diberikan tugasan secara berkumpulan dan membuat pembentangan hasil daripada dua hari bengkel dijalankan.

    Menurut beliau lagi, bengkel tersebut dipecahkan kepada tiga sesi dan bengkel yang akan diadakan pada 23 hingga 24 Ogos adalah bengkel sesi pertama mereka kendalikan dan tarikh bagi sesi kedua serta ketiga akan dimaklumkan kemudian.

    Ketika sesi soal jawab pada sidang media berkenaan, Pemangku Pengarah JPD telah menjelaskan bahawa memandangkan terdapatnya peningkatan jumlah motosikal yang berdaftar dari tahun ke tahun, yang mana pada tahun 2016 sejumlah 838 motosikal berdaftar yang aktif, bengkel berkenaan adalah sebagai salah satu langkah untuk meningkatkan lagi kewaspadaan kepada para penunggang motosikal.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda