BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OKT – Seramai 49 orang siswazah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) telah menghadiri Bengkel Pelan Strategik Mencapai ‘GOT’ (Graduate on Time) yang diadakan buat pertama kali dan dianjurkan oleh Jawatankuasa Ad-hoc Kelab Siswazah, Pusat Pengajian Siswazah (PPS) UNISSA di Bilik Banquet, UNISSA, baru-baru ini.
Hadir semasa bengkel tersebut ialah Pengarah Pusat Pengajian Siswazah, Dr Hajah Sri Rahayu @ Nurjanah binti Haji Dollah selaku penasihat Jawatankuasa Ad-hoc Kelab Siswazah, serta ketua-ketua program lepas ijazah UNISSA dari pelbagai fakulti dan pusat.
Matlamat bengkel tersebut diadakan adalah sebagai salah satu usaha dalam memberi pendedahan kepada para siswazah mengenai kepenti-ngan perancangan secara baik dan terurus.
Selain daripada itu, ia juga bertujuan untuk memantapkan pengetahuan para siswazah tentang kaedah mengurus pengajian supaya lebih teratur dan bersistematik.
Bengkel itu juga dapat memberi pendedahan kepada para siswazah melalui perkongsian pengalaman alumni yang berjaya menamatkan pengajian sebelum tamat tempoh.
Bengkel tersebut telah difasilitator oleh dua orang pensyarah dan lima orang siswazah Program Sarjana dan Doktor Falsafah.

Slot pertama yang bertajuk ‘Persediaan Fizikal, Mental dan Spiritual’ dikendalikan oleh siswazah-siswazah Program Doktor Falsafah Bahasa Arab, Dayang Ijlalina Nadzirah binti Haji Yunus dan Hajah Rafizah binti Haji Abdullah, dan siswazah Program Sarjana Usuluddin, Awang Mohd Syahirul Syafiq bin Rasyid.
Slot kedua bertajuk ‘Tips Penyediaan Perancangan Strategik’ telah disampaikan oleh siswazah Program Doktor Falsafah Syariah, Dayang Zurairatul Zakiah binti Dato Seri Setia Haji Rajid, dan siswazah Program Sarjana Sejarah dan Tamadun Islam, Dayang Izzah Naqibah binti Kamis.
Sementara slot terakhir yang bertajuk ‘Kisah Inspirasi Insan GOT’ dikongsikan oleh Pensyarah UNISSA, Dr Hajah Halimaturradiah binti Dato Seri Setia Haji Metussin, dan Pensyarah Adjung UNISSA, Awang Hafini bin Mahmud.
Bengkel ini merupakan salah satu usaha tersebut untuk membantu melahirkan graduan yang mempunyai perancangan dan strategi bagi menyelesaikan perjalanan pengajian dalam tempoh yang ditentukan.
Bengkel ini diharap dapat menjadi wadah perkongsian ilmu teori dan praktikal serta perbincangan dalam kalangan para pelajar untuk lebih yakin dan jelas dengan perjalanan pengajian.