UKRAINE – Sebuah trak membuang satu lagi muatan benih bunga matahari hitam ke dalam gudang petani Ukraine, Oleksandr Ryabinin, di mana benih-benih itu bertaburan di atas lantai, mengeluarkan aroma kacang apabila dihancurkan di bawah kaki.
Ia merupakan musim menuai bunga matahari di Ukraine dan Ryabinin telah mengumpulkan lebih separuh daripada hasil tanamannya.
Tetapi dengan serangan berulang Rusia ke atas pelabuhan dan laluan perkapalan Laut Hitam yang ditutup, proses eksport menjadi lebih sukar.
“Pada masa ini, kami belum menjual sebarang kilogram benih bunga matahari,” kata pengarah ladang berusia 52 tahun itu kepada AFP.
Benih bunga matahari dan minyaknya merupakan eksport utama bagi Ukraine, yang pada 2020/2021 menghasilkan 31 peratus daripada keseluruhan pengeluaran minyak bunga matahari global, menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS).
Eksport itu terjejas teruk disebabkan perang, kerana petani terpaksa meninggalkan tanah mereka dan mencari laluan alternatif untuk menghantar produk mereka.
“Orang ramai takut untuk menghantar minyak,” kata Ryabinin, yang menguruskan ladang-ladang di wilayah Dnipropetrovsk dan Kherson di tenggara Ukraine.
“Tidak ada sesiapa yang mahu mengambil risiko,” katanya sambil menjelaskan bahawa kapal-kapal takut untuk pergi ke pelabuhan Ukraine disebabkan serangan Rusia.
Kekurangan permintaan bermaksud pedagang-pedagang menawarkan harga benih yang terlalu rendah, katanya.
“Tidak ada gunanya menjual sekarang.”
“Kami akan menunggu harga naik, menunggu sebarang laluan bagi bijirin dibuka,” tambahnya.
Bunga matahari tumbuh di sebahagian besar Ukraine. Pada musim panas, kelopak-kelopak bunga emas yang berlatarkan langit biru mengingatkan kepada bendera negara itu.
Tetapi hasil tanaman itu dituai apabila kelopak yang cantik telah gugur dan hanya tinggal kepala benih yang menjadi hitam dan kering.
Di bawah matahari terik, kumpulan penuai dengan teliti memotong kepala benih dan mengeluarkan bijinya sebelum memasukkannya dalam trak di sebidang tanah di ladang Ryabinin. Ryabinin menjangkakan penuaian akan selesai dalam masa 10 hari.
Biji benih yang masih dalam kulit pelindung hitamnya boleh disimpan sehingga setahun, selepas itu ia akan mengalami kemerosotan kualiti akibat pengasidan.
Pada masa ini, gudang ladangnya juga dipenuhi dengan bijirin gandum. Mereka hanya menjual biji sesawi mereka, katanya.
Bahagian logam gudang benih bunga matahari itu ditembusi lubang kecil daripada serpihan peluru dan dinding konkrit di luar dipeuhi dengan kesan-kesan bom berangkai.
Seorang pekerja ladang terbunuh di tempat itu ketika dia cuba melarikan diri mencari perlindungan, terkena jantungnya oleh serpihan peluru. Dia berusia 26 tahun dan baru sahaja menjadi bapa, kata Ryabinin.
Petani berpengalaman berusia 30 tahun itu mengatakan bahawa dia telah menjalani kehidupan yang baik sebelum perang.
Dia dan petani-petani lain telah melabur dalam peralatan baharu, seperti mesin penuai gabungan yang diimport.
Tetapi kemudian tiba-tiba berlakunya mencerobohan Rusia di wilayah Kherson, yang menyebabkan ladangnya tidak dapat mengusahakan 40 peratus daripada 10,000 hektar tanahnya tahun lepas.
Selepas rakyat Rusia diusir keluar dari Kherson, pekerja-pekerja ladang menghabiskan musim sejuk membersihkan rumput liar dan mendapatkan juruledak untuk membersihkan bahan letupan yang belum meletup.
Dengan tentera Rusia kini berada di seberang sungai Dnipro, keadaannya lebih tenang dan musim panas ini 100 peratus tanah ladang telah ditanam.
“Kini kami mempunyai beberapa pengeluaran tetapi kami tidak dapat menjualnya”, katanya dengan penuh kecewa. – AFP