Wednesday, May 14, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Benih tanaman dilindungi dalam terowong

    BONGHWA, KOREA SELATAN – Tersorok dalam terowong pergunungan di Korea Selatan yang mampu bertahan daripada letupan nuklear, benih daripada hampir 5,000 spesies tumbuh-tumbuhan liar disimpan dengan selamat daripada ancaman perubahan iklim, bencana semula jadi dan peperangan.

    Para penyelidikan memberi amaran bahawa kepupusan tumbuhan sedang berlaku pada kadar yang membimbangkan, didorong oleh populasi manusia yang semakin meningkat, pencemaran dan pembasmian hutan, walaupun sebelum kebanyakan spesies dikatalogkan.

    Pusat Bilik Kebal Arboretum Nasional Baekdudaegan memelihara hampir 100,000 benih dari 4,751 spesies tumbuhan liar berlainan untuk memastikan tumbuhan berkenaan tidak pupus akibat ‘peristiwa mala petaka dahsyat,’ kata ketuanya Lee Sang-yong.

    Ia merupakan satu daripada dua kemudahan yang ada di dunia, beritahunya kepada AFP: tidak seperti tempat simpanan benih yang lebih lazim, di mana sampel disimpan dan selalu dikeluarkan untuk pelbagai tujuan, simpanan dalam bilik kebal benih sepatutnya untuk tempoh selama-lamanya, dengan kegunaan hanya sebagai jalan terakhir untuk mengelak daripada pupus.

    Bilik kebal dicipta khas sebagai sistem keselamatan oleh Perkhidmatan Risikan Nasional Korea Selatan, dikelilingi oleh pagar berdawai dan puluhan kamera, dengan larangan ke atas rakaman dan rondaan polis diadakan secara tetap.

    Seorang pekerja mempamerkan sampel benih dalam sebuah terowong di Pusat Bilik Kebal Benih Arboretum Nasional Baekdudaegan di tenggara pergunungan Bonghwa. – AFP
    Penyelidik menyediakan sampel benih di bahagian penyelidikan benih tumbuhan liar Pusat Arboretum Baekdudaegan di Bonghwa. – AFP
    Gambar menunjukkan pegawai bersedia memasuki bilik simpanan dalam terowong di Pusat Bilik Kebal Benih Arboretum Baekdudaegan. – AFP
    Penyelidik memeriksa benih tumbuhan yang disimpan dalam bilik simpanan jangka panjang di Bonghwa. – AFP

    Di dalam sebuah lif yang menghubungkan kira-kira lapan tingkat ke bawah terowong konkrit yang dalam dan luas, di mana dua pintu keluli berat mengawal bilik simpanan dan rak benih, dikawal oleh suhu negatif 20 darjah Celsius untuk memelihara benih dan 40 peratus kelembapan untuk mengekal ketahanan benih tersebut.

    Sampel dalam bilik kebal sebahagian besarnya terdiri daripada flora dari semenanjung Korea, namun dengan kapasiti dua juta benih, Korea Selatan menawarkan ruangnya kepada negara lain, dengan Kazakhstan dan Tajikistan antara negara yang telah menerima tawaran tersebut.

    Penyimpan mengekalkan hak pemilikan sampel mereka dan mengawal pengeluaran yang dilakukan.

    Namun Lee berkata: “Bilik kebal benih menyimpan benih untuk mengelaknya daripada pupus, maka senario terbaik adalah tidak mengeluarkan benih berkenaan.”

    Pada mulanya, ia dibina oleh sebuah negara yang pada tahun 1950 diserang oleh negara jiran Korea Utara, dan Pyongyang telah membangunkan gudang senjata nuklear dan peluru berpandu sejak itu.

    Bangunan itu dibina di tempat paling selamat di Korea Selatan, menurut Lee, bertujuan agar terus bertahan dalam gempa bumi dengan magnitud 6.9 malah serangan nuklear.

    “Ia selamat dari segi geografi,” menurut Lee. “Dan kami menurap terowong bawah tanah sedalam 46 meter untuk memastikan ia selamat daripada peperangan dan ancaman nuklear.”

    Bilik kebal benih terbesar dan paling terkenal di dunia dibina jauh di dalam bekas lombong arang batu di Svalbard, gugusan kepulauan terpencil di Norway Artik kira-kira 1,300 kilometer dari Kutub Utara.

    Digelar tanaman makanan ‘Noah’s Ark’, Bilik Kebal Benih Global itu menumpu pada tanaman pertanian dan yang berkaitannya, menyimpan lebih daripada satu juta sampel benih dari hampir setiap negara di dunia.

    Namun para penyelidik berkata “melindungi benih tanaman liar – sumber asal tanaman yang kami makan hari ini – tidak harus diketepikan.”

    Banyak spesies tumbuhan di hutan yang mungkin membekalkan diversiti genetik untuk membantu keselamatan makanan jangka panjang ‘kekurangan perlindungan efektif’, menurut satu laporan PBB baru-baru ini.

    Ia mengingatkan bahawa perladangan mungkin kurang mampu bertahan daripada perubahan iklim, haiwan perosak dan patogen akibatnya, menambah: “Biosfera, yang mana manusia bergantung pada keseluruhannya, sedang merosot lebih cepat berbanding mana-mana masa dalam sejarah manusia.”

    Tumbuhan liar mempunyai peluang cerah untuk dijadikan sebagai ubat pada masa depan, bahan api serta makanan, kata Taman Botani Diraja Kew dalam satu laporan pada tahun lalu, tetapi kira-kira dua perlima di antaranya diancam kepupusan, sebahagian besarnya disebabkan pemusnahan habitat dan perubahan iklim.

    Ia merupakan ‘perlumbaan dengan masa’ untuk mengenal pasti tumbuhan berkenaan sebelum ia hilang, tambahnya.

    Penyelidikan ke atas benih tanaman liar ‘amat kurang,’ menurut Na Chae-sun, penyelidik kanan di Arboretum Nasional Baekdudaegan.

    Beliau dan kumpulannya mengumpul sampel dan menjalankan proses dengan teliti dan terperinci termasuk ujian sinar-x dan penanaman percubaan sebelum benih dikatalogkan dan disimpan dalam bilik kebal benih.

    “Seseorang mungkin bertanya kenapa bunga liar di tepi bebendul jalan adalah penting?” katanya.

    “Tugas kami adalah mengenal pastinya satu demi satu dan membenarkan orang mengetahui betapa pentingnya tumbuhan tersebut,” tambahnya.

    “Tanaman yang kami makan hari ini mungkin datang daripada bunga tanpa nama di tepi jalan.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda