Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Benjamin Seek dari Pasukan Apex Racing diumumkan sebagai Grand Champion dalam siri Kejuaraan Rookie Cup Karting anjuran AZ Karting yang berlangsung hari ini di F1 Supakart, Jerudong Park Playground.
Sementara itu Awang Shopian bin Said dari Pasukan Surkrew Motorsports menduduki tempat kedua dan Alan Badzli dari Pasukan Rosso Racing berada di tempat ketiga.
Dalam Club Kart Challenge (CKC) pula telah dimenangi oleh Awang Rezhan di-susuli Awang Rayyan Sophian di tempat kedua dan Awang Nazheef di tempat ketiga dalam cabaran yang sama.
Manakala gelaran pemandu terpantas pula disandang oleh Benjamin Seek.
Hadir bagi menyempurnakan majlis penyampaian hadiah dan trofi kepada para pemenang ialah Ketua Amprex Racing dan pengedar rasmi Rotax Engines di Malaysia, Genji Hashimoto.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/02/P24-A-paper-web_27022023-1.jpg)
Acara seumpama ini diharapkan dapat mempamerkan kemahiran dan kebolehan atlet yang menyertainya dan seterusnya memberi inspirasi kepada orang lain untuk terlibat dalam sukan yang menarik ini.
Acara itu memberi tumpuan kepada penekanan standard keselamatan, mempamerkan kerja berpasukan dan menggalakkan peserta berusaha untuk mencapai potensi terbaik mereka.
Melalui acara ini, ia juga diharap menyediakan platform yang membawa kepada kejayaan di masa akan datang.
Acara pada hari ini merupakan salah satu daripada lima kejuaraan Rookie Cup Karting yang telah diikuti oleh seramai lebih 18 orang peserta bagi merebut gelaran Grand Champion untuk kedua-dua siri Keejuaraan Rookie Cup Karting dan CKC.
Perlumbaan kart merupakan antara sukan menarik yang menggabungkan kelajuan dan strategi.
Melalui bersaing dalam kejohanan, para atlet dapat menunjukkan keupayaan mereka dan mempamerkan semangat sebenar dalam sukan ini.