Monday, January 27, 2025
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Benny dan Jenny’ tarikan Mini Zoo di Pesta Pulau Pinang

    GEORGE TOWN, 26 JAN – Sepasang alpaka yang dinamakan Benny dan Jenny menjadi antara tarikan utama di Mini Zoo Utara bersempena Pesta Pulau Pinang 2024/2025 di Tapak Pesta Sungai Nibong dekat sini.

    Dengan berkaca mata hitam, keletah kedua-dua haiwan berasal dari Australia itu mencuri perhatian pengunjung bukan sahaja dalam kalangan kanak-kanak tetapi juga orang dewasa yang tidak mahu melepaskan peluang bergambar dan selain memberi makan.

    Pemiliknya Alim Jefferi Abdullah Aziz, 40, berkata ini kali pertama Mini Zoo Utara masuk ke Pesta Pulau Pinang dan menjadi acara terbesar pernah disertai pihaknya dengan Alpaca and Friends dipilih sebagai tema.

    Selain alpaka, acara kali ini turut menampilkan hampir 70 spesies haiwan lain termasuk haiwan eksotik seperti rakun, burung kakak tua, iguana, ular dan kambing terkecil di dunia yang kesemunya berasal dari luar negara.

    “Tema Alpaca and Friends ini dipilih sebab di Pulau Pinang jarang dapat tengok alpaka jadi kita hendak beri peluang kepada pengunjung terutama orang tempatan untuk melihat haiwan itu secara lebih dekat.

    “Kebiasaan kalau nak tengok alpaka kena pergi ke Cameron Highland atau di zoo tetapi istimewa untuk Pesta Pulau Pinang kita bawakan khas. Selain dapat menyentuh, pengunjung juga boleh mengambil gambar dengan alpaka serta haiwan lain yang ada di sini,” katanya kepada Bernama di Tapak Pesta Sungai Nibong.

    Beliau berkata dengan dibantu enam petugas pihaknya turut menyediakan info berkaitan haiwan yang dipamerkan bagi memberi pengetahuan kepada para pengunjung. – Bernama

    Benny dan Jenny menjadi antara tarikan utama sempena Pesta Pulau Pinang di Tapak Pesta Sungai Nibong kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda