Oleh Sim Y. H –
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Negara Brunei Darussalam selaku Pengerusi Mesyuarat Kerjasama ASEAN mengenai Hal Ehwal Perkhidmatan Awam (ACCSM) bagi 2023 hingga 2024 telah menjadi tuan rumah bagi Mesyuarat ACCSM ke-22 dan ACCSM Plus Three (China, Jepun, Korea) ke-7 yang membawa tema Memperkukuhkan Sektor Awam ASEAN: Sesuai untuk Masa Depan yang berlangsung di sebuah hotel di Jerudong, bermula 5 hingga 7 Ogos.
Mesyuarat bagi tahun kedua kepengerusian Brunei diadakan selama tiga hari dengan Sesi Pleno Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan (SOM) dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Dr Norfarizal bin Othman selaku Pegawai Kanan ACCSM Brunei.
Mesyuarat SOM ACCSM ke-22 yang diadakan sebelah pagi telah dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan dari sektor perkhidmatan awam dari negara-negara anggota ASEAN.
Sementara itu, Mesyuarat SOM ACCSM Plus Three ke-7, pada sesi petang dihadiri oleh para pegawai kanan dari sektor perkhidmatan awam dari negara-negara ASEAN Plus Three dengan delegasi dari Timor-Leste selaku pemerhati mesyuarat.
Brunei selaku pengerusi telah membentangkan status perkembangan terkini pelaksanaan Pelan Kerja ACCSM dan ACCSM Plus Three 2021-2025 serta strategi-strategi yang dirancang bagi memastikan penyelesaian projek dan aktiviti menjelang akhir 2025.


Antara lain yang terkandung dalam pelan kerja berkenaan ialah program dan bengkel bagi pertukaran dan perkongsian amalan-amalan terbaik dalam perkhidmatan awam bersama negara-negara anggota ASEAN serta negara-negara ASEAN Plus Three.
Sebanyak 28 projek dan program di bawah Pelan Kerja ACCSM dan ACCSM Plus Three 2021-2025 telah selesai dilaksanakan. Pembangunan Pelan Kerja ACCSM 2026-2030 juga turut dibincangkan, dengan mengambil kira persetujuan mesyuarat bagi mengekalkan bidang-bidang keutamaan sepertimana yang digariskan dalam Pelan Kerja 2021-2025 iaitu meningkatkan kecekapan dan standard tenaga kerja dalam sektor awam, membangun kapasiti institusi dan koordinasi antara agensi, kepimpinan transformatif, memperkukuhkan ASEAN Resource Centres (ARC) serta pembaharuan dan pemodenan sektor awam.
Perbincangan juga merangkumi perkembangan pelaksanaan aktiviti ASEAN Network of Public Service Training Institutes (PSTI) serta penyerahan convenorship dari Vietnam kepada Brunei bagi 2024-2026.
Mesyuarat itu mengambil maklum mengenai hasil bengkel yang telah dikendalikan oleh Brunei yang disertai oleh negara-negara anggota ASEAN pada Jun 2024 mengenai Strengthening Government Strategies on Mental Health and Well-Being Towards Achieving Work-Life Balance (WLB) in Public Sector.
Dalam mesyuarat tersebut, Kemboja selaku Pengerusi ACCSM ke-23 bagi 2024-2026 telah membentangkan mengenai tema dan aktiviti yang dirancang di sepanjang kepengerusiannya.
Mesyuarat telah dikendalikan bersama dengan Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Pengurusan dan Institut Perkhidmatan Awam.
Mesyuarat akan disusuli dengan Mesyuarat Ketua-ketua Perkhidmatan Awam pada 7 Ogos nanti.

