Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bentuk belia berdaya tahan

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Hakikatnya, dalam kepimpinan itu mesti ada misi, visi dan semangat, bukan setakat menyarung pakaian seragam tetapi perlu dinamik dan praktikal, segalanya perlu disemat dalam hati penuh keikhlasan berbekalkan komitmen yang jitu demi menggenggam sebuah
    amanah.

    Mengimbas kembali perjalanan penubuhan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), pergerakan pengakap di negara ini mula ditubuhkan pada 1933 oleh Allahyarham Dato Paduka Haji Marsal bin Maun dengan 12 orang ahli.

    Pergerakan ini terus berkembang apabila ia menubuhkan cawangannya di Daerah Tutong pada 1936 dan di Daerah Belait pada 1940. Sementara itu, cawangan di Daerah Temburong hanya dikenal pasti ditubuhkan pada 1974.

    Sejak ia mula ditubuhkan, pergerakan pengakap dalam lingkungan tanah air kita melangkah setapak demi setapak mengikuti arus dan perkembangan pergerakan pengakap seluruh dunia sama ada di peringkat serantau mahupun antarabangsa.

    Berdasarkan perjalanannya yang telah mencapai usia 90 tahun, pelbagai kejayaan dan kecemerlangan telah dicapai oleh PPNBD hasil daripada bimbingan kepimpinan yang terdahulu.

    Awang Mohd Nur Rahimi berkata, pendidikan dan latihan dalam pergerakan pengakap dapat membentuk individu belia menjadi warganegara yang berdaya tahan, membangunkan pemimpin masa depan, dan memberikan kemahiran praktikal yang diperlukan dalam kehidupan sehari-hari. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Dayang Nur Syahmina mengikuti pergerakan pengakap sejak usia 10 tahun lagi. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Gambar fail menunjukkan antara ahli pengakap yang hadir semasa majlis penutup rasmi Jambori Nasional ke-5 Brunei Darussalam di Padang Dewan Kemasyarakatan Bukit Bendera, Daerah Tutong, pada 7 Disember 2023. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR FAIL PPNBD

    Di saat tanah air kira meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-40, Media Permata berpeluang menemui dua orang belia yang telah bergiat aktif menceburi kegiatan pengakap yang pastinya suatu hal yang perlu diketengahkan dalam sama-sama memberi kesedaran betapa pentingnya golongan belia berusaha menggapai Wawasan Brunei 2035.

    PENGLIBATAN SEJAK USIA 13 TAHUN

    Ahli seorang ahli Pasukan Pengakap Kelana Terbuka 4012 Daerah Temburong, Awang Mohd Nur Rahimi Afiq Hasyir bin Haji lsmail, 22, mengongsikan bahawa minat yang mendalam disertai lagi dengan sokongan ahli keluarga yang banyak menjadi ahli dalam pergerakan pengakap merupakan salah satu faktor baginya untuk mula mengikuti PPNBD sejak di usia 13 tahun lagi.

    “Pendidikan dan latihan dalam pergerakan pengakap adalah penting kerana ia dapat membentuk individu belia itu menjadi warganegara yang berdaya tahan, membangunkan pemimpin masa depan dan memberikan kemahiran praktikal yang diperlukan dalam kehidupan sehari-hari.”

    Melaluinya, ia juga membawa nilai-nilai seperti tanggungjawab, kejujuran dan kerjasama yang membentuk asas keperibadian yang kukuh yang bercalakkan Melayu Islam Beraja (MIB).

    “Ini adalah penting dalam melengkapkan diri dan menyahut cabaran menggapai wawasan negara kita yang hanya tinggal kurang 12 tahun lagi ini,” tekannya yang berasal dari Kampung Seri Tanjong Belayang, Daerah Temburong.

    Selaku penerima Anugerah Baden Powell semasa Jambori Nasional ke-5 Brunei Darussalam pada tahun lepas, Awang Mohd Nur Rahimi berkata, anugerah berkenaan bukanlah suatu perkara yang mudah diraih namun sepanjang meniti pergerakan pengakap berkenaan, fokus utama yang disemai dalam jiwa raganya antaranya pengembangan dalam kepemimpinan, sokongan dalam kehidupan bermasyarakat, pencapaian dalam aktiviti pengakap, serta pembangunan diri secara holistik.

    Anugerah Baden Powell merupakan anugerah tertinggi bagi Bahagian Pengakap Kelana. Salah satu lencana yang perlu dilengkapkan adalah Lencana Kenegaraan, yang menjuruskan kepada falsafah MIB.

    BELIA PEMIMPIN BERJIWA MIB

    Ditanya sama ada ‘Belia Pemimpin Berjiwa MIB’ itu dalam perspektif peribadi, Awang Mohd Nur Rahimi berkata pastinya ia mengandungi makna yang mendalam di mana merujuk kepada pemuda yang tidak hanya memiliki kemahiran kepemimpinan tetapi juga menghayati dan memperjuangkan nilai-nilai MIB.

    “Dari lubuk hati yang terdalam ini, ia juga melambangkan semangat kesediaan untuk memimpin dengan keadilan, berdasarkan prinsip-prinsip Islam dan nilai-nilai Melayu, sambil menyumbang kepada pembangunan negara secara harmoni. Ia melibatkan kesetiaan terhadap agama, budaya, dan sistem pemerintahan MIB, serta semangat pelayaran untuk kesejahteraan bersama,” ujarnya.

    TERUS DIDIK JIWA RAGA

    Sementara itu, ahli Pasukan Pengakap 4001 Sekolah Menengah Sultan Hassan, Daerah Temburong, Dayang Nur Syahmina Aqilah binti Abdullah Muhd Nur Ariffin turut berkongsi pendapatnya dalam meniti perge-rakan pengakap sejak di usia 10 tahun lagi.

    Menurutnya, prinsip utama yang sentiasa menjadi penguat untuk terus bangkit ialah perlunya ada jiwa keazaman, kesukarelawanan dan kepimpinan dalam menempuhi pelbagai liku-liku kehidupan demi sama-sama mengorak langkah seiring berjalannya
    waktu.

    “Penganugerahan yang dijulang bukanlah sebagai satu tanda penghargaan semata-mata bahkan ia juga sebagai pembakar semangat diri ini dan rakan-rakan seperjuangan yang lain untuk terus mengorak langkah menanai amanah dalam memimpin generasi penerus bangsa di mana kita dilahirkan ini,” luahnya ketika mengimbas detik kenangan terindah menjadi salah seorang penerima Anugerah Pengakap Sultan bersempena penganjuran semasa Jambori Nasional ke-5.

    Anugerah Pengakap Sultan merupakan anugerah tertinggi bagi Bahagian Pengakap Remaja. Kelayakan untuk menerima anugerah berkenaan, mereka perlu lulus beberapa ujian dan membuat khidmat masyarakat melebihi jumlah jam yang ditetapkan.

    Mengimbas detik mula terlibat dalam bidang pergerakan pengakap, Dayang Nur Syahmina berkata, keluarga tercinta terutama sekali ibunya merupakan orang yang paling tegar memberi sokongan tanpa henti.

    “Dalam keluarga, hanya saya dan adik saya yang meneruskan berpengakap untuk menyambung generasi arwah nenek saya. Alhamdulillah, penglibatan dalam bidang pergerakan pengakap ini pasti memiliki nilai sentimental tersendiri,” kongsinya dengan senyuman yang menetap di Kampung Batang Tuau, Daerah Temburong.

    Belia yang kini berusia 16 tahun itu turut menyatakan, apa sahaja yang dilakukan perlu adanya sifat keikhlasan dalam diri kerana apabila sifat ikhlas tersemai maka sudah setentunya diri kita juga akan tenang untuk melaksanakan perkara berkenaan meski pun ia begitu sukar pada permulaannya.

    “Berkarih sehingga belurih, itulah juga sifat yang perlu ditanam dalam jiwa kita apabila ingin melakukan sesuatu perkara agar ia berhasil dengan sempurna, di samping sentiasa menyemai semangat bekerjasama daripada setiap ahli dalam pasukan. Perlu diketahui juga, sebagai seorang ahli pengakap, menolong orang lain dan mematuhi undang-undang pengakap adalah antara pegangan yang perlu disemai dalam diri dari semasa ke semasa,” ujarnya di akhir pertemuan bersama penulis.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda