Monday, May 12, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bentuk belia berdisiplin

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1441H, Sukarelawan Belia Da’ie, Program Keugamaan Belia, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dengan kerjasama Pusat Dakwah Islamiah (PDI), Jabatan Hal Ehwal Masjid, Belia Mualaf As-Syahadah, belia-belia di bawah Jabatan Belia dan Sukan serta belia Masjid Kampung Lambak Berakas pagi tadi telah mengungkayahkan Program Rehlah Ilmiah dan Pejuang Fajr di Masjid kampung Lambak, Berakas.

    Hadir selaku tetamu khas pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang; Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh dan Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Masjid, Haji Amir Hisham bin Haji Masri.

    Program diisikan dengan aktiviti seperti Qiamullail, Sembahyang Subuh berjemaah, tazkirah subuh bertajuk ‘Sunnah Rasulullah: Menghayati Sayyidul Istighfar’ yang disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Tingkat II, Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama,Pejabat Setiausaha Tetap KHEU, Awang Muhammad Yussof bin Haji Abdul Majid.

    Turut diadakan semasa acara tersebut ialah aktiviti senaman ringan, kempen bergo-tong-royong membersihkan kawasan masjid berkenaan dan serta merentang sejadah untuk persediaan sembahyang Jumaat.

    Antara objektif program ini diadakan ialah untuk mempelbagaikan metodologi dakwah kepada golongan belia mengikut perkembangan semasa, membina jati diri yang berorientasikan Melayu Islam Beraja (MIB), dan memupuk rasa cinta terhadap masjid dengan memakmurkannya dari semasa ke semasa. Program seumpama ini juga diharap akan dapat mendidik para belia agar bergiat aktif dalam aktiviti amal dan berbakti kepada masjid seterusnya akan melahirkan lebih ramai lagi belia Islam yang berdisiplin dan bertanggungjawab.

    Antara aktiviti yang diadakan semasa program tersebut.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda