Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bentuk jati diri ahli Pengakap UNISSA

    Oleh Sim Y. H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 DIS – Kecemerlangan dari segi akademik merupakan salah satu elemen untuk menghasilkan generasi muda yang berkualiti dan mempunyai jati diri yang ampuh.

    Intelek pula merupakan faktor perdana untuk menjanakan kecemerlangan tamadun bangsa.

    Ke arah itu, ahli-ahli Pasukan Pengakap Kelana 1102 Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) perlu proaktif dalam menimba ilmu bukan sahaja di dalam bilik kuliah tetapi juga menuntut segala pengetahuan dan latihan ketahanan fizikal serta mental di luar bilik kuliah.

    Sehubungan dengan itu, seramai 32 orang ahli Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA telah mengikuti kursus kepimpinan jati diri iaitu Kursus Sekapur Sireh dan Istiadat Vigil serta Istiadat Melantik Ahli Pengakap Kelana yang baharu yang berlangsung di Outward Bound Brunei Darussalam (OBBD), Kem Batang Duri, Daerah Temburong baru-baru ini.

    Kursus itu diadakan dengan hasrat boleh melahirkan ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA yang berkualiti serta memiliki kekuatan mental dan fizikal bagi menempuhi segala cabaran fizikal serta dibimbing supaya boleh melakukan kerja-kerja amal dan kemasyarakatan agar mereka menjadi insan yang berakhlak mulia dalam melahirkan masyarakat yang harmoni juga merupakan generasi harapan bangsa yang bakal menerajui negara pada masa akan datang.

    Program Kursus Sekapur Sireh yang dikendalikan oleh pihak OBBD selama tiga hari dua malam itu, bermatlamat untuk membentuk sifat-sifat kecekalan dan ketahanan diri serta mental ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA dalam menghadapi sebarang cabaran yang di luar kebiasaan mereka.

    Antara kegiatan yang telah dilalui oleh ahli-ahli Pengakap Kelana UNISSA sepanjang mengikuti kursus kepimpinan jati diri berkenaan adalah termasuk sesi perbincangan dan pembentangan dalam gerak kerja kumpulan kecil serta pemantapan kemahiran dalam membina keyakinan diri dalam menghadapi cabaran seperti taklimat pertolongan cemas, aktiviti keyakinan ketika berada di dalam air, flying fox, pembelajaran asas membaca kompas dan peta, merentas hutan dari Kem Batang Duri menuju ke Kem Kabun sejauh 6km dan perjalanan balik melalui berkayak dan berakit sejauh 7km di Sungai Temburong dari Kem Kabun menuju semula ke Kem Batang Duri.

    Di akhir kursus, seramai 19 orang ahli Pengakap Kelana UNISSA yang baharu pengambilan ke-6 dan dua orang ahli Pasukan Pengakap Kelana Terbuka Daerah Temburong telah menjalani proses mengenal diri sebelum dilantik secara rasminya sebagai ahli Pengakap Kelana dalam satu proses Vigil dan Majlis Istiadat Melantik Ahli Pengakap Kelana ke-7.

    Turut mengiringi dalam kegiatan berkenaan ialah Jurulatih Pengakap Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA iaitu Pesuruhjaya Latihan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) Awang Zainudin bin Haji Ishak, Haji Junaidi bin Haji Hussin serta Haji Othman bin Durani bagi mengendalikan Istiadat Vigil dan Istiadat Melantik Ahli Pengakap Kelana UNISSA yang baharu.

    Ahli Pasukan Pengakap Kelana 1102 UNISSA bergambar ramai semasa kursus berkenaan. – GAMBAR SERAHAN PENGAKAP KELANA 1102 UNISSA
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda