Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 MEI – Demi semangat menghargai dan memperkasa perjuangan hak dan pencapaian golongan wanita sekali gus sebagai satu komitmen bagi mewujudkan masyarakat yang lebih inklusif dan saksama, dalam kehidupan sehari-hari, Wadah Amal Sdn Bhd, anak syarikat Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) telah mengadakan Hari Penghargaan Wanita bertempat di Block B, Center Stage, Kompleks Membeli-belah Yayasan, petang, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis bagi sama-sama meraikan hari istimewa berkenaan ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Fiskal) dan Timbalan Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Wadah Amal Sdn Bhd, Pengiran Datin Seri Paduka Hajah Zety Sufina binti Pengiran Dato Paduka Haji Sani.
Turut hadir ialah Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan dan Pemangku Pengarah Urusan Yayasan dan ahli Lembaga Wadah Amal Sdn Bhd, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak; dan Pengurus Pelaburan, Darussalam Assets Sdn Bhd dan ahli Lembaga Wadah Amal Sdn Bhd, Dayangku Hajah Dewi Sarwani binti Pengiran Haji Sarpudin.
Dalam ucapan alu-aluan, Eksekutif Pemasaran, Wadah Amal Sdn Bhd, Dayangku Nur Salsabeelaa binti Pengiran Haji Sulaiman, antaranya menyentuh bahawa apabila kita mendengar perkataan wanita pasti orang pertama yang terlintas di fikiran ialah ibu kita.
“Ibu kita mewakili karakter besar seorang wanita dan mempunyai peranan yang menonjol dalam membentuk kita dan masyarakat. Dia mewakili simbol kekuatan, cinta, dorongan, kebijaksanaan dan pertumbuhan,” ujarnya.
Tambahnya, adalah menjadi satu kebanggaan acara dengan slogan Cinta Tumbuh ke Mana Sahaja Dia Pergi didedikasikan kepada semua ibu di negara ini.
Dayangku Nur Salsabeelaa antaranya turut mengongsikan perhimpunan berkenaan bukan sahaja meraikan pencapaian dan sumbangan wanita tetapi juga mengambil sedikit masa untuk mengenali cabaran yang mereka hadapi, terutamanya mereka yang memerlukan.
Detik acara yang dihiasi dengan dekorasi bunga-bungaan itu telah menyaksikan sumbangan penghargaan kepada ibu-ibu yang dijemput dari Kampung Bolkiah. Dalam pada itu, majlis turut dimeriahkan dengan lawatan ke petak-petak jualan oleh para pengusaha di sekitar pentas acara di samping pelbagai aktiviti menarik.



