Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Nov – Para Pembimbing Rakan Remaja disarankan untuk terus meningkatkan dan memanfaatkan pengalaman yang diperoleh mereka dalam mengembangkan diri untuk menjadi pemimpin belia yang berkaliber pada masa akan datang.
Pesanan itu dibuat oleh Pemangku Pengetua Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli), Hajah Monaliza binti Haji Abdul Halim dalam kata alu-aluannya di Majlis Malam Penghargaan Pembimbing Rakan Remaja (PRR) yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil serta cenderahati penghargaan kepada para PRR yang diraikan ialah Pengarah Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Dr Hajah Zurina binti Haji Harun.
Majlis anjuran Bahagian Kaunseling dan PRR Maktab Duli dengan kerjasama Kumpulan PRR dari semua pusat tingkatan enam seluruh negara merupakan sebagai tanda penghargaan kepada ahli-ahli PRR yang akan menamatkan pengajian mereka pada hujung tahun ini.
Selain itu, ia juga sebagai menghargai sumbangan serta usaha mereka ke arah menjayakan program-program dan inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan, di samping dapat memberikan peluang kepada semua ahli-ahli PRR dari semua pusat tingkatan enam untuk beramah mesra serta mengeratkan lagi hubungan rangkaian komuniti PRR.
