Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OKT – Kepimpinan yang berkesan bukannya terletak pada seseorang yang tahu memberikan arahan serta menanamkan rasa takut di dalam diri orang dipimpin mereka tetapi untuk memberikan inspirasi, pembakar semangat serta bimbingan kepada orang dibimbing supaya mereka boleh yakin dalam diri mereka untuk memberikan yang terbaik kepada organisasi.
Seorang pemimpin itu juga bukan dilahirkan dengan ciri-ciri seorang pemimpin tetapi persekitaran, keperibadian dan ilmu pengetahuan mereka boleh sahaja membina diri mereka untuk menjadi seorang pemimpin yang boleh menerima pandangan daripada orang yang dipimpin dan sama-sama membina keyakinan mereka supaya mereka dapat menempuh kejayaan. Perkara itu antara yang dinyatakan oleh Mastercoach dari Iclif Leadership and Governance Centre, Awang Muhammad Sabri Rawi semasa Forum Kepimpinan dan Urus Tadbir dalam Era Digital yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam, Rimba, hari ini.
Forum anjuran Institut Perkhidmatan Awam (IPA) dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) itu dihadiri oleh Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Perdana Menteri, Dr Norfarizal bin Othman serta pengarah-pengarah dari pelbagai kementerian dan jabatan-jabatan kerajaan.
Forum sehari itu bermatlamat untuk menjana transformasi pemimpin menjadi pembuat keputusan yang efektif dengan meningkatkan kepekaan mereka terhadap pelbagai dimensi etika dan akibat daripada keputusan yang dibuat dalam era digital di mana kesalinghubungan itu telah membolehkan lebih banyak ketelusan.
Menerusi forum itu, ia akan memberikan para peserta pencerahan mengenai kaedah untuk mengenal pasti dan membangunkan cara untuk memimpin orang dengan mengamalkan pemikiran kepimpinan sumber terbuka.
Pada masa yang sama, ia juga adalah untuk memastikan bahawa para pemimpin dapat merangkul prinsip urus tadbir yang baik dalam era digital ini. Forum itu merupakan salah satu kerjasama antara IPA dan BIBD menerusi pendekatan Kerjasama Awam-Swasta dalam sama-sama menyampaikan program penting untuk membantu meningkatkan ilmu pengetahuan pemimpin dalam sektor awam. Kerjasama itu adalah selaras dengan komitmen BIBD untuk menyokong kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dala inisiatif-inisiatif utama peringkat negara termasuk dalam memudahkan dan merealisasikan Wawasan Brunei 2035 menerusi pendekatan seluruh negara dan inisiatif BIBD, Partners in Progress.
