Friday, March 28, 2025
25.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Bentuk Qari, Qariah yang berkualiti dan mantap

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Awang Abdul Mu’in bin Haji Abdul Hamid dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Dayangku Fauziah Nadhirah binti Pengiran Haji Jofri dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) masing-masing diumumkan sebagai johan qari dan qariah dalam Musabaqah Tilawah Al-Quran sempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-9 UNISSA, hari ini.

    Pertandingan yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu menyaksikan Awang Abdul Mu’in berjaya mendapat 89.63 peratus sekali gus mendahului peserta dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Malaysia yang mendapat 89 peratus di tempat kedua dan peserta Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) di tempat ketiga dengan 84.38 peratus.

    Manakala itu, Dayangku Fauziah Nadhirah berjaya mengumpul 90.8 peratus dengan mendahului peserta dari USIM di tempat kedua dengan markah 87.5 peratus sementara peserta Universitas Islam Malang (UNISMA), Indonesia di tempat ketiga berjaya mengumpul 84.25 peratus.

    Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah bin Haji Sulaiman.

    Turut hadir pada majlis itu, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad; Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) di Kementerian Pendidikan, Dr Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin; Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz dan Pemangku Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Haji Adi Syarmin bin Haji Mohd Taib.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Hamzah menyampaikan hadiah kepada Dayangku Fauziah Nadhirah.
    Awang Abdul Mu’in menerima hadiah daripada tetamu kehormat majlis.

    Musabaqah berkenaan yang anjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) UNISSA sempena Mahrajan Hafl Al-Takharruj ke-9 itu merupakan salah satu usaha UNISSA dalam menjunjung Al-Quran pada tempat yang setinggi-tingginya.

    Musabaqah kali ini menjemput penyertaan institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) rantau Asia Tenggara bagi sama-sama memeriahkan dan menghidupkan suasana cintakan Al-Quran.

    Antara lain tujuan musabaqah adalah untuk memupuk semangat belia serta generasi baharu supaya sentiasa membekalkan diri dengan ilmu Al-Quran di samping mendukung hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

    Selain itu juga bagi melahirkan qari dan qariah baharu yang berkualiti serta berkemampuan daripada kalangan pelajar IPT dan sebagai metode dakwah untuk mendalami ilmu Al-Quran.

    Peserta-peserta musabaqah terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi IPT  serantau dengan UNISSA, UBD, KUPU SB dan UTB mewakili Brunei Darussalam manakala itu, dari negara sahabat terdiri daripada USIM mewakili Malaysia, UNISMA mewakili Indonesia dan Fatoni University mewakili Thailand.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda