Benzema pamer persembahan cemerlang

TIRASPOL, MOLDOVA, 25 NOV – Karim Benzema meledakkan gol beberapa jam selepas dia didapati bersalah kerana kes memeras ugut ketika Real Madrid menewaskan Sheriff Tiraspol 3-0 untuk mara ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara.

Penyerang Perancis itu menjaringkan gol ketiga buat pasukannya menerusi persembahan mantap di Transnistria untuk Real membalas dendam di atas kekalahan mengejut 2-1 kepada Sheriff di Madrid awal musim ini.

Kemenangan itu membolehkan gergasi Sepanyol itu kembali menguasai Kumpulan D, dua mata mengatasi Inter Milan di tempat kedua yang turut layak ke saingan 16 terbaik selepas menewaskan Shakhtar Donetsk 2-0.

Madrid kini hanya perlu mengelak kekalahan pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Inter di Santiago Bernabeu untuk kekal sebagai pendahulu kumpulan.

“Kami akan teruskan usaha ini. Saya suka cara kami bermain,” kata jurulatih Real, Carlo Ancelotti sebelum ini ketika membawa pasukannya menewaskan 1-0 pada perlawanan pertama kumpulan September lalu.

“Skuad berada dalam keadaan baik, setiap pemain mempunyai tahap fizikal yang kuat. Ia penting untuk kami berakhir sebagai juara dan kami akan berusaha untuk menamatkan kempen kumpulan dengan cara kami bermula.”

Kekalahan itu melenyapkan harapan Sheriff untuk mara ke pusingan seterusnya namun kempen pertama dalam aksi Liga Juara-Juara pasti tidak akan dapat dilupakan apabila mereka kini menghuni kedudukan ketiga peringkat kumpulan dan menjamin tempat dalam saingan kalah mati Liga Europa.

Sementara itu, Benzema dijatuhkan hukuman setahun kerana bersubahat dalam memeras ugut bekas rakan sepasukannya di Perancis, Mathieu Valbuena. – AFP

Aksi Karim Benzema menjaringkan gol semasa perlawanan Liga Juara-Juara di antara Sheriff Tiraspol dan Real Madrid di Tiraspol, Transnistria di Moldova pada 24 November. – AP