SAINT-DENIS, PERANCIS, 29 MEI – Karim Benzema mengakui dia sudah melakukan segala yang termampu bersama Real Madrid musim ini untuk meletakkan dirinya sebagai calon pilihan memenangi anugerah Ballon d’Or selepas membantu gergasi Sepanyol itu menewaskan Liverpool 1-0 pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Paris.
Benzema tidak menjaringkan gol pada perlawanan akhir di Stade de France dengan Vinicius Junior meledakkan jaringan tunggal namun pemain Perancis itu menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak Liga Juara-Juara dengan 15 gol termasuk 10 jaringan pada pusingan kalah mati.
“Sudah tentu,” kata pemain berusia 34 tahun ketika ditanya sama ada Ballon d’Or dalam fikirannya selepas musim yang cemerlang di mana dia memenangi La Liga bersama Real Madrid.
“Sekarang saya akan menyertai skuad kebangsaan tapi saya tidak fikir saya boleh melakukan lebih lagi dengan kelab saya.
“Kita lihat apa yang akan berlaku tetapi dalam apa jua keadaan saya berasa bangga dengan apa yang saya lakukan.”
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/05/P22-Lead_30052022.jpg)
Benzema akan menyertai skuad Perancis untuk beberapa siri Perlawanan Liga Negara-Negara UEFA Jun ini selepas menamatkan musim dengan 44 gol bersama Real.
Dia menjaringkan hatrik ketika menentang Paris Saint-Germain dan Chelsea pada pusingan kalah mati Liga Juara-Juara dan menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan separuh akhir menentang Manchester City.
“Tiada nasib,” katanya merujuk kepada beberapa siri kemenangan kebangkitan luar biasa dalam perjalanan mereka ke pusingan final.
“Awda boleh bernasib baik sekali tetapi bukan setiap kali. Kami berhak mendapat kemenangan ini. Kami telah berusaha, kami kembali setiap kali, kami tak pernah putus asa.
“Setiap pemain memainkan peranan penting dalam skuad, sama ada dia pemain baharu atau pengganti, atau pun mereka tidak bermain dengan kerap tetapi memberikan segala-galanya dalam latihan.”
Benzema, yang kini berjaya memenangi lima Liga Juara-Juara bersama Real, mengakui mengakhiri musim sebagai penjaring terbanyak pertandingan adalah ‘luar biasa.’
Pemenang Ballon d’Or akan diumumkan pada satu majlis di Paris pada Oktober, sebelum Piala Dunia bermula di Qatar. – AFP