BADELAIDE, AUSTRALIA, 30 JULAI – Nouhaila Benzina menjadi pemain wanita pertama yang memakai hijab semasa perlawanan Piala Dunia Wanita apabila dia memakai hijab muslimah dalam perlawanan Maghribi menentang Korea Selatan pada pagi tadi.
Badan induk bola sepak dunia, FIFA, telah menarik balik larangan pemain memakai hijab hampir 10 tahun lalu, selepas kebimbangan terdahulu berkaitan keselamatan pemain.
Benzina, yang berusia 25 tahun dan bermain sebagai pemain pertahanan, bermain untuk kelabnya di Maghribi dan mencatat nama dalam buku sejarah apabila beraksi dalam perlawanan menentang Korea Selatan di Adelaide.
Dia telah berkongsi catatan di media sosial sebelum Piala Dunia mengenai pemakaian hijab, tetapi tidak memberikan kenyataan kepada media di Australia dan New Zealand mengenai perkara itu.
Baru-baru ini, dia memberitahu stesen penyiaran Al Jazeera bahawa ia merupakan satu momen yang membanggakan.
“Telah banyak usaha dilakukan selama bertahun-tahun, dan syukur alhamdulillah, ia telah membuahkan hasil yang positif.
“Kami berharap dapat bermain di tahap yang tinggi dan menyenangkan rakyat Maghribi,” katanya.
Beberapa sukan lain telah menarik balik larangan pemakaian hijab dalam beberapa tahun terakhir, termasuk bola keranjang, tetapi pemakaian hijab masih tidak dibenarkan semasa perlawanan bola sepak rasmi di Perancis.
Pasukan wanita Maghribi, yang diketuai oleh jurulatih warga Perancis, Reynald Pedros, berada dalam Piala Dunia Wanita pertama mereka selepas mencapai kedudukan naib juara yang bersejarah dalam Piala Wanita Afrika 2022. – AFP