Friday, October 7, 2022
23.1 C
Brunei

Beradu tenaga hidupkan seni lawan pedang

-

JAKARTA – Bersenjatakan pedang tumpul, puluhan bakal kesateria menjalani latihan giat dalam usaha untuk menghidupkan seni mempertahankan diri Eropah kuno yang diajar ratusan tahun lalu.

Namun ia bukan babak atau adegan daripada filem Game of Thrones atau pun Adventures of Robin Hood – ia adalah hari yang cerah pada petang Ahad di tengah Jakarta, salah sebuah bandar terbesar di dunia.

Pemain pedang berkenaan sedang berlatih teknik lawan pedang yang diasah di seluruh Eropah dari abad ke-14 hingga abad ke-18 – dikenali sebagai Seni Mempertahankan Diri Eropah Bersejarah (HEMA).

Selepas menjalani sesi memanaskan badan, anggota kumpulan Gwaith-i-Megyr bergilir-gilir menunjukkan kemahiran menggunakan pedang di luar stadium besar Gelora Bung Karno.

“Latihan tersebut adalah di luar jangkaan saya. Ketika kami berlatih menggunakan senjata, rasa keterujaan yang dialami apabila menyerang dan mempertahankan diri lebih terasa berbanding dengan pertarungan fizikal.

Anggota kumpulan Gwaith-i-Megyr bergambar sebelum berlatih teknik lawan pedang dikenali sebagai Seni Mempertahankan Diri Eropah di sebuah taman di Jakarta. – AFP
Anggota kumpulan Gwaith-i-Megyr berlatih teknik lawan pedang di sebuah taman di Jakarta. – AFP

Kumpulan Gwaith-i-Megyr ditubuhkan pada tahun 2016 selepas beberapa anggota kelab peminat tempatan penulis Inggeris JRR Tolkien – yang menulis trilogi novel Lord of the Rings – menunjukkan minat terhadap HEMA.

Kira-kira 50 orang telah menyertai kumpulan itu baru-baru ini di Jakarta dan cawangannya di bandar Jawa di Bandung.

Nama kumpulan itu bermaksud ‘Persahabatan Pemain Pedang’ dan berasal daripada bahasa Sindarin, salah satu bahasa fiksyen yang diwujudkan oleh Tolkien dalam novelnya, menurut Ahmad Rizal Soulisa, salah seorang anggota pengasas kumpulan itu.

Penggemar HEMA biasanya meneliti buku panduan yang ditinggalkan oleh guru-guru sebelum ini semasa mereka belajar, berlatih dan memulihkan pergerakan, kata Soulisa.

Namun bukan sahaja pertarungan dan peminat filem yang mencetuskan inspirasi kepada pemain pedang berkenaan – mereka juga suka mempelajari sejarah seni lawan pedang Eropah.

Sekar Widya Putri tidak menaruh harapan tinggi apabila dia dipelawa oleh kawannya untuk menyertai Gwaith-i-Megyr pada 2017, tetapi berkata dia datang untuk menghayati pendidikan berkaitan dengan HEMA.

“Saya suka mempelajari teknik dan maklumat berkaitan seni tersebut – kenapa kami perlu menangkis lawan dengan cara ini, bahagian badan yang mana satu yang terdedah kepada serangan dan sebagainya,” katanya.

Selepas berlatih selama beberapa tahun, penulis iklan berusia 30 tahun itu ingin melihat namanya dalam ranking HEMA antarabangsa, yang menjejak kejohanan di seluruh dunia.

Buat masa sekarang, hanya terdapat seorang warga Indonesia yang berada dalam senarai yang terdiri daripada 8,000 peserta – seorang lelaki yang mengambil bahagian dalam kejohanan di Taiwan pada 2019. “Saya ingin menambah seorang lagi peserta Indonesia kepada senarai itu,” kata Putri. – AFP

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Hasrat rai majlis kahwin tak kesampaian

NEW DELHI, 5 OKT - Hasrat 25 individu yang ingin meraikan majlis perkahwinan tidak kesampaian apabila mereka maut selepas bas yang dinaiki terbabas sebelum...
- Advertisment -