Oleh Hajah Saemah Kepli
SERIA, 6 Ogos – Acara Keluarga Harapanku Ceria yang diadakan di Dewan Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC), di sini, selama tiga hari dan berakhir hari ini telah dimeriahkan dengan majlis pelancarannya dan penyampaian hadiah bagi beberapa peraduan yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman.
Acara yang julung kalinya dianjurkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sungai Liang dengan kerjasama LLRC itu turut dihadiri oleh Pemangku Ketua Kampung Sungai Liang, Haji Mohd Ibrahim bin Datu Maharaja Setia Dian, serta ahli-ahli jawatankuasa MPK Sungai Liang dan juga penduduk kampung dan orang ramai.
Majlis pelancarannya telah dimeriahkan dengan persembahan tarian tradisional oleh ahli-ahli MPK Sungai Liang, demonstrasi sukan mempertahankan diri tekwondo dan sebagainya.
Sepanjang acara itu, pelbagai aktiviti dilakukan antaranya Peraduan Gubahan Bunga Hantaran Perkahwinan, Peraduan Gubahan Seni Buah-buahan, Peraduan Masakan Kampung, Peraduan Peragaan Pakaian dan sebagainya.
Hadiah-hadiah kepada pemenang pertama hingga ketiga setiap pertandingan berkenaan telah disempurnakan oleh tetamu kehormat.
Selain itu, acara berkenaan juga bertujuan untuk menunjukkan bakat-bakat penduduk tempatan dalam seni kraf tangan, gubahan bunga, masakan, gubahan dastar yang diserikan lagi dengan petak-petak jualan di dalam kawasan dan di luar dewan berkenaan.
Pengunjung cilik turut dihiburkan dengan penampilan maskot-maskot, permainan belon buih, peraduan melukis dan mewarna dan sebagainya, selain acara-acara sukan keluarga seperti futsal.
Antara tujuan acara itu diadakan adalah untuk memberi peluang kepada orang ramai di Daerah Belait meluangkan masa beriadah bersama keluarga selain membukakan peluang berniaga kepada peniaga-peniaga tempatan.