Oleh Daniel Lim
BELAIT, 31 MEI – Lebih 50 bekas pelajar dan guru Sekolah Melayu Muhammad Alam (SMMA), Seria, yang kini dikenali sebagai Sekolah Rendah Muhammad Alam telah berkumpul untuk kali pertamanya setelah 60 tahun sebagai sebahagian daripada Majlis Perjumpaan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diadakan di Dewan Pejabat Daerah Belait, cawangan Seria kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah bekas pengetua sekolah, Dato Paduka Haji Abdul Razak bin Haji Mohamad.
Perjumpaan kecil itu memberikan peluang kepada para hadirin, terdiri daripada bekas pelajar dan guru sekolah dari tahun 1950 hingga 1867, mengimbau kembali kenangan semasa belajar dan berkhidmat di sekolah selain berkongsi dan bertukar berita mengenai pengalaman hidup selepas meninggalkan sekolah berkenaan.
Salah seorang bekas guru sekolah, Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha bin Pengiran Metassan juga berkongsi kenangan manis semasa beliau mengajar di sekolah itu mes-kipun telah meninggalkan sekolah lebih 60 tahun lalu.
Selain jamuan makanan disajikan, majlis dimeriahkan lagi dengan pelbagai persembahan daripada bekas pelajar dan guru. Acara berakhir dengan tetamu kehormat dan tetamu jemputan memotong kek kumpulan alumni, diikuti oleh penyampaian sijil kepada ahli jawatankuasa penganjur majlis berkenaan.

