Friday, December 20, 2024
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Berangkat hadiri mesyuarat dan sidang-sidang kemuncak

    VIENTIANE, LAOS, 11 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) ke-12, Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19, Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-14 dan Mesyuarat Ketua-ketua Komuniti Pelepasan Sifar Asia (AZEC) ke-2 yang diadakan di Pusat Konvensyen Nasional (NCC), Vientiane.

    Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

    • SIDANG KEMUNCAK ASEAN-AS KE-12

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-12, berkenan mengurniakan titah di mana Baginda menyampaikan ucapan takziah atas kehilangan nyawa dan kemusnahan teruk akibat Taufan Helene dan Taufan Milton.

    Dalam mengiktiraf AS sebagai rakan kongsi yang dipercayai ASEAN, Baginda menzahirkan penghargaan atas sokongan dan komitmen berterusan AS terhadap usaha pembinaan komuniti ASEAN dalam merentasi ketiga-tiga tonggak. Sejak bertahun-tahun lagi, sumbangan berkenaan telah membentuk pembangunan sosioekonomi ASEAN dengan ketara dan meningkatkan taraf kehidupan rakyatnya.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19 di Pusat Konvensyen Nasional (NCC), Vientiane, Laos. EAS merupakan forum penting yang diterajui para pemimpin untuk memupuk dialog dan kerjasama praktikal di Asia Timur. – GAMBAR OLEH INFOFOTO
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-AS ke-12 di NCC, Vientiane. – GAMBAR OLEH INFOFOTO

    Memandang ke hadapan, Baginda menyeru agar segala usaha dapat digandakan lagi untuk terus menyokong Perkongsian Strategik Komprehensif ASEAN-AS dalam bidang-bidang seperti pendigitalan dan perubahan iklim, yang bukan sekadar cabaran bahkan juga mempunyai peluang yang berpotensi besar untuk masa hadapan kolektif ASEAN dan AS.

    Di samping itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut menyatakan tentang kesan perubahan kemajuan teknologi ke atas setiap aspek kehidupan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Trend ini dianggarkan menyumbang kepada hampir AS$1 trilion kepada pertumbuhan ekonomi digital ASEAN menjelang 2030. Dalam hal ini, Baginda menyeru untuk mengukuhkan kapasiti kolektif ASEAN-AS, terutamanya dalam teknologi maklumat, bagi memastikan ia kekal di landasan yang betul.

    ASEAN dan AS juga harus komited untuk memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Oleh itu, Baginda teruja untuk terus bekerjasama dengan AS melalui inisiatif-inisiatif bagi membina kapasiti PMKS dan membantu pengintegrasian mereka ke dalam ekonomi digital.

    Ke arah ini, penerimaan Statement on Promoting Safe, Secure, and Trustworthy Artificial Intelligence adalah dialu-alukan, yang akan menyokong pembangunan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN.

    Pada masa yang sama, Baginda turut mengalu-alukan untuk bekerjasama dengan AS dalam penyelesaian digital supaya akan dapat menangani cabaran global seperti perubahan iklim. ASEAN dan AS boleh mendapat manfaat daripada bekerjasama dalam projek penyelidikan dan inovasi, pengumpulan data dan menerima sokongan teknikal dalam bidang yang disasarkan seperti infrastruktur berdaya tahan iklim dan sistem amaran awal.

    Akhir sekali, Baginda menghargai sokongan berterusan AS terhadap usaha-usaha ASEAN melalui Hab Penyelesaian Iklim dan menggalakkan kerjasama dengan Pusat Perubahan Iklim ASEAN.

    Sementara itu, perbincangan antara pemimpin menekankan keperluan untuk mengukuhkan perkongsian ASEAN-AS dalam bidang-bidang seperti ekonomi digital, termasuk kerjasama dalam kecerdasan buatan dan aliran data rentas sempadan, serta tindakan iklim dan pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan.

    • EAS KE-19

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia kemudian berangkat menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) ke-19, di mana Baginda bertitah menyatakan bahawa sejak penubuhannya, EAS merupakan forum penting yang diterajui para pemimpin untuk memupuk dialog dan kerjasama praktikal di Asia Timur.

    Dalam landskap global yang semakin rumit, EAS boleh memainkan peranan dalam menggalakkan multilateralisme bagi menangani cabaran semasa yang mendesak dan meneroka kerjasama dalam bidang berkepentingan bersama.

    Menyentuh mengenai isu kritikal serantau dan antarabangsa, seperti keselamatan makanan dan tenaga serta perubahan iklim, Baginda menekankan pelaksanaan usaha-usaha bersama amat diperlukan untuk melindungi masa hadapan yang lebih baik.

    Sejak bertahun-tahun lagi, EAS telah secara proaktif bersetuju untuk menangani cabaran-cabaran tersebut melalui peningkatan kerjasama serantau. Dalam hal ini, Baginda menyatakan bahawa EAS hendaklah memastikan persetujuan-persetujuan yang lalu dilaksanakan untuk memastikan kedayatahanan dan kemakmuran serantau.

    Baginda juga menekankan, walaupun wabak pandemik tidak lagi menimbulkan ancaman, tetapi kesannya terutamanya terhadap kesihatan mental tetap membimbangkan. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, kehilangan produktiviti akibat kesihatan mental yang buruk semakin berterusan dan dianggarkan secara global mencecah AS$6 juta menjelang 2030.

    Oleh itu, EAS perlu terus bekerja lebih rapat dan menghasilkan sistem penjagaan kesihatan mental yang berkesan.

    Ke arah ini, Baginda merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan kepada Bengkel Kesihatan Mental EAS ke-2 – dijadualkan diadakan pada akhir tahun ini – yang juga boleh menyumbang kepada pembangunan EAS Joint Action Plan on Mental Health Cooperation.

    Baginda selanjutnya menekankan ketegangan geopolitik yang berterusan telah dan akan terus mengganggu pertumbuhan ekonomi masa hadapan, yang mana ia terus menguji kredibiliti institusi seperti PBB. EAS, yang mana ahli-ahlinya termasuk kuasa-kuasa besar ekonomi dan ahli tetap Majlis Keselamatan PBB, boleh memainkan peranan penting dalam memulihkan kepercayaan dan keyakinan dalam sistem antarabangsa.

    Secara keseluruhannya, EAS, tambah Baginda, boleh menunjukkan kepimpinan dengan menegakkan undang-undang antarabangsa secara konsisten, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen PBB mengenai Undang-undang Laut bagi memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran yang berterusan di rantau ini dan seterusnya.

    Semasa sidang kemuncak ini, para pemimpin EAS, antara lainnya menekankan kepentingan bagi menegakkan multilateralisme dan undang-undang antarabangsa, ketika dihadapi dengan ketegangan geopolitik.

    SIDANG KEMUNCAK ASEAN-PBB KE-14

    Baginda kemudian berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-14, di mana Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada Setiausaha Agung PBB, Tuan Yang Terutama Antonio Guterres, atas kejayaan menganjurkan Summit of the Future dan pemuktamadan Pact for the Future, yang menggariskan visi bersama dalam membina masa depan yang lebih baik.

    Sehubungan dengan itu, Baginda menegaskan semula kesediaan Brunei untuk terus bekerjasama dengan negara-negara anggota ASEAN dan PBB dalam menangani cabaran serantau dan global serta memastikan kemajuan dan pembangunan tidak terhalang.

    Sementara itu, Baginda menekankan kepentingan untuk menangani perubahan iklim, memandangkan peningkatan membimbangkan dalam kejadian-kejadian cuaca ekstrem di rantau ini, termasuk suhu tinggi dan ribut taufan.

    Dalam perkara ini, Baginda menzahirkan penghargaan atas gesaan untuk mempercepatkan pelaksanaan inisiatif Early Warnings for All seperti yang digariskan dalam Pact for the Future, di mana setiap individu akan mendapat akses kepada sistem amaran awal menjelang 2027.

    Kerjasama dengan agensi khas PBB yang berkenaan termasuk Pertubuhan Meteorologi Dunia adalah juga dialu-alukan, bagi menyokong usaha-usaha ASEAN dalam mengurangkan kesan akibat iklim.

    Seterusnya, Baginda menyatakan bahawa walaupun transformasi digital terdapat banyak manfaat, pada masa yang sama, Baginda menekankan keperluan untuk terus berwaspada dan bersiap sedia, kerana juga terdapat ancaman seperti serangan siber dan jenayah siber.

    Dalam mengakhiri titah, Baginda mengalu-alukan lebih banyak kerjasama antara PBB dan ASEAN untuk meningkatkan literasi digital dan menggalakkan pembangunan teknologi baharu yang bertanggungjawab.

    Semasa sidang kemuncak itu, para pemimpin menekankan bahawa ASEAN dan PBB perlu menumpukan usaha-usaha kerjasama bagi menangani cabaran-cabaran global dalam bidang-bidang seperti pengurangan risiko bencana dan perubahan iklim.

    MESYUARAT KETUA-KETUA AZEC KE-2

    Semasa mesyuarat berkenaan, Baginda bertitah menggariskan komitmen kukuh Jepun terhadap keselamatan tenaga dan pertumbuhan mampan di rantau Asia Pasifik melalui usaha-usaha pengurangan karbon yang memajukan.

    Dalam hal ini, Brunei mengalu-alukan strategi Jepun, One Goal, Various Pathways ke arah mempercepatkan pelepasan sifar, yang mengiktiraf keadaan unik setiap negara dalam AZEC dan tahap kemajuan masing-masing dalam peralihan tenaga.

    Dengan lebih 60 peratus tanah di Brunei diliputi hutan hujan, Baginda menegaskan komitmen untuk memelihara alam sekitar melalui tenaga yang boleh diperbaharui di tanah terpinggir dengan pemasa-ngan sistem fotovoltaik berskala besar.

    Usaha-usaha pemeliharan alam sekitar ini merupakan sebahagian penting dalam Dasar Kebangsaan Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam untuk menentukan masa hadapan yang rendah karbon dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

    Usaha-usaha tersebut juga telah membolehkan Brunei untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 14 juta tan karbon dioksida pada tahun 2023, meletakkan negara pada landasan yang betul bagi mencapai sasaran 20 peratus Nationally Determined Contributions dibandingkan dengan tahap business-as-usual pada tahun 2015.

    Akhir sekali, Baginda mengalu-alukan untuk bekerjasama lebih rapat bersama Jepun melalui AZEC di ERIA bagi mempercepatkan usaha-usaha serantau dalam peralihan tenaga dan turut menggalakkan kerjasama di antara Pusat Perubahan Iklim ASEAN dan AZEC untuk menerokai langkah-langkah inovatif dan praktikal, serta dasar-dasar ke arah membentuk rantau yang berkecuali karbon.

    Semasa mesyuarat itu, para pemimpin AZEC menggalakkan kerjasama alam sekitar ke arah mengurangkan impak perubahan iklim, serta pembiayaan usaha-usaha peralihan tenaga AZEC dan perdagangan elektrik rentas sempadan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda