BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat menghadiri Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang akan diadakan di Vientiane, Republik Demokratik Rakyat Laos pada 8 hingga 11 Oktober.
Laos, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dengan tema sidang ASEAN: Enhancing Connectivity and Resilience akan menumpukan ke arah menggiatkan lagi usaha kerjasama ASEAN di bawah tiga tonggak komuniti, meningkatkan kesalinghubungan infrastruktur, mengurangkan jurang pembangunan, menggalakkan integrasi ekonomi dan pertukaran antara rakyat yang lebih kerap serta mengukuhkan lagi hubungan ASEAN bersama rakan-rakan luar sekali gus mempertahankan kerelevanan dan perpaduan ASEAN dalam seni bina serantau yang kian berkembang.
Sidang-sidang kemuncak tahun ini akan menghimpunkan para pemimpin ASEAN dan Republik Demokratik Timor Leste bersama Rakan-rakan Dialog ASEAN bagi memajukan tindakan bersepadu dalam melaksanakan bidang-bidang keutamaan dan deliverables utama Pengerusi ASEAN ke arah meningkatkan lagi kesalinghubungan dan kedayatahanan serantau.
Dalam sama-sama memberikan tindak balas terhadap cabaran-cabaran serantau dan global pada masa akan datang, perbincangan juga akan memfokuskan kepada matlamat dan hasrat umum ASEAN ke arah meningkatkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran di rantau ini termasuk pembangunan mampan dan inklusif, transformasi digital, perubahan iklim, usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN, hubungan luar ASEAN serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.