Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 MEI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, hari ini, berkenan berangkat ke Majlis Doa Kesyukuran sempena Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) ke-58 yang berlangsung di Surau Ad-Difa’, Kementerian Pertahanan, Bolkiah Garison.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.
Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, para pengarah, komandan dan pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan ABDB serta para jemputan khas termasuk mantan-mantan timbalan menteri pertahanan dan mantan-mantan pemerintah ABDB.
Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran daripada Surah As-Saf ayat 10 sehingga 14 yang dibacakan oleh Leftenan Muhammad Hadayatullah Sunazul Fikrar bin Suip Al-Hafiz dari Batalion Kedua, Tentera Darat Diraja Brunei.
Majlis kemudian diikuti dengan bacaan Surah Yasin, Tahlil dan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Imam Surau Ad-Difa’, Awang Shuib bin Haji Abdullah. Sementara itu, Doa Khas Sempena Hari Ulang Tahun ABDB ke-58 dibacakan oleh Ketua Jabatan Agama ABDB, Komander Haji Ainolnizam bin Haji Ibrahim.
Duli Yang Teramat Mulia seterusnya berkenan menerima junjung ziarah daripada mereka yang hadir. Ini diikuti dengan penandatanganan lembaran kenangan dan sesi bergambar ramai. Di samping itu, majlis yang sama juga diadakan secara serentak di semua surau garison dan kem ABDB.
Tema Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB ke-58 ialah ‘Bersama Menjayakan Wawasan Negara’, dengan upacara kemuncak sambutan akan diadakan pada 30 Jun nanti di Bolkiah Garison. Tema sambutan itu adalah bertepatan dengan peranan ABDB yang memainkan peranan penting dalam memperkasa keselamatan dan kedaulatan Negara Brunei Darussalam, mendukung kemajuan dan pembangunan negara secara holistik dengan memastikan persekitaran yang aman dan damai melalui pertahanan serta sekuriti yang jitu.


