Oleh Sim Y. H. & Syahmi Hassan
Gambar oleh Infofoto
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 NOV – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah berkenan berangkat ke Majlis Hari Perkhidmatan Awam (HPA) ke-26 yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah; Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador At Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri.
Sejurus keberangkatan tiba Baginda Sultan dan kerabat diraja, lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dikuman-dangkan dan diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned yang dikhususkan kepada Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien serta pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah kembali ke rahmatullah.
HPA ke-26 membawa tema ‘Perkhidmatan Awam Berintegriti dan Berinovasi Pemangkin Pembangunan Negara’ yang akan digunakan selama tiga tahun berturut-turut bermula 2019.
Ia dihasratkan supaya warga perkhidmatan awam sebagai pemangkin pembangunan negara hendaklah bersikap dinamik, mempunyai pemikiran jangka panjang dan berupaya menyelaras dasar-dasar serta strategi kerajaan dalam menangani cabaran-cabaran global di samping memanfaatkan sepenuhnya pendekatan-pendekatan berevolusi dan kaedah penambahbaikan terkini.






Menteri di JPM, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dalam sembah alu-aluannya selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Tertinggi Sambutan HPA ke-26 menyembahkan bahawa sebagai pemangkin pembangunan negara, seluruh warga perkhidmatan awam akan terus membaharui tekad dalam menjunjung tinggi titah-titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta bersepadu dalam berusaha dan saling mendukung pelaksanaan agenda pembangunan negara dengan sentiasa menekankan aspek-aspek kualiti dan kecemerlangan perkhidmatan yang diberikan.
Beliau menyembahkan, dalam menyedari cabaran yang dipengaruhi oleh trend global termasuk hambatan daripada kepesatan kemajuan teknologi dalam era Revolusi Industri (RI) ke-4, ia menuntut warga perkhidmatan awam untuk lebih bijak bukan sahaja dalam soal penyelesaian permasalahan-permasalahan yang terbit darinya, malah berupaya melihat kepada peluang positif di sebalik perubahan itu.
“Di sinilah juga pentingnya setiap penjawat awam untuk sentiasa melengkapkan diri dengan kemahiran dan pengetahuan dalam mengimbangi keperluan daripada perubahan dan pembaharuan tersebut khususnya dalam konteks urus tadbir awam yang secara sifatnya adalah organik yakni tidak statik dan sentiasa berubah.”
Oleh itu, sembah Yang Berhormat Dato, budaya kerja yang berpaksikan positif, inovatif, responsif dan integriti merupakan kunci kepada pengupayaan sumber tenaga manusia sektor awam di negara ini demi terus memperkesankan pelaksanaan urus tadbir dan dasar-dasar kerajaan secara kesinambungan.
Baginda Sultan kemudian berkenan untuk mengurniakan titah dan diikuti dengan tayangan tiga buah video yang menerangkan huraian tema sambutan HPA 2019 khususnya dalam menyumbang kepada pembangunan negara dan merealisasikan Wawasan Brunei 2035 melalui penerapan budaya integriti dan inovasi ke arah perkhidmatan awam yang cemerlang.
Majlis turut menyaksikan tayangan klip video bagi anugerah-anugerah yang dibe-rikan pada tahun ini termasuk Anugerah Pekerja Cemerlang Perkhidmatan Awam (APCPA), Anugerah Kakitangan Berjasa dan Berbakti Perkhidmatan Awam (AKB2PA), Program Penggredan Prestasi Sektor Awam (3PSA) dan Anugerah Inovasi Perdana (AIP).
Seramai 49 orang pegawai dan kakitangan kerajaan yang terdiri daripada Bahagian II hingga V dari setiap kementerian telah diperkenankan untuk menerima APCPA pada tahun ini. Penerima bagi setiap bahagian menerima plak, sijil penghargaan dan wang tunai $1,000.
Tayangan klip video menge-nai AKB2PA pula menyerlahkan 11 orang kakitangan kerajaan terpilih untuk dikurniakan anugerah berkenaan. Para penerima anugerah menerima trofi, pingat, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak $1,000.
Dua buah jabatan telah pula diperkenankan untuk dikurniakan sijil pengiktirafan melalui 3PSA dengan penarafan bintang yang telah diiktiraf mendapat tiga bintang iaitu baik di mana jabatan berkenan ialah Jabatan Perkhidma-tan Awam (JPA), JPM dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), JPM.
Sementara itu, bagi AIP, dua buah kumpulan telah diperkenankan untuk dikurniakan penganugerahan iaitu Anugerah Perak kepada Kumpulan JKED dari Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dengan kertas projek bertajuk ‘Memudah Cara Permohonan Kebenaran Membawa Ken-deraan (Keluar/Masuk) Melintas Sempadan Melalui Pos-Pos Kawalan’.
Kumpulan itu menerima geran pembelajaran atau projek tidak melebihi $5,000, sebuah piala dan sijil penghargaan di samping pengiktirafan berkaitan dengan pembangunan kerjaya dan kapasiti.
Pemenang Anugerah Gangsa ialah Kumpulan THE ACHIEVERS dari Jabatan Percetakan Kerajaan, JPM bagi kertas projek bertajuk ‘Sistem Pengurusan Percetakan’ yang mana mereka menerima geran pembelajaran atau projek tidak melebihi $3,000, sebuah piala dan sijil penghargaan di samping pengiktirafan berkaitan dengan pembangunan kerjaya dan kapasiti.
Anugerah Khas telah diberikan kepada Kumpulan LIFESAVER995 dari Jabatan Bomba dan Penyelamat, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dengan projek bertajuk ‘Kerosakan dan Kehilangan Pili-Pili Bomba di Seluruh Negara Meningkat’ di mana mereka menerima geran projek berjumlah $3,000 yang disumbangkan oleh Bank Islam Brunei Darussalam dan sijil penghargaan.
Manakala itu, tiga kertas projek telah dipilih untuk menerima sagu hati iaitu Kumpulan PAYU dari Pusat Ke-bangsaan E-Kerajaan, JPM bagi kertas projek bertajuk ‘Perkhidmatan Talian Darussalam 123’, Kumpulan LANGEN BECK, Institut Sains Kesihatan PAPRSB, Universiti Brunei Darussalam bagi kertas projek bertajuk ‘Kaedah Penyampaian Perkhidmatan Pembelajaran Simulasi Kurus Kejururawatan Bilik Bedah yang Inovatif dan Kos Efektif’ serta Pejabat SPA dengan kertas projek bertajuk Public Service Comission Computerised Assessment Management System (PSC-CAMS).
Baginda Sultan kemudian dijunjung dan berkenan mengurniakan hadiah-hadiah dan penghargaan kepada penerima-penerima Anugerah AIP, 3PSA, APCPA dan AKB2PA.
Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Selamat dan diikuti dengan lagu kebangsaan, Allah Perliharakan Sultan.
Sebelum berangkat meninggalkan Pusat Persidangan, Baginda Sultan berkenan menandatangani lembaran kenangan dan sesi bergambar ramai bersama para penerima anugerah serta sijil.