Oleh Yusrin Junaidi, Nurdiyanah R. & Daniel Lim –
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam petang tadi berkenan berangkat ke Majlis Kesyukuran sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-79, Tahun 2025, di Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong.
Turut berangkat sama, paduka-paduka anakanda dan adinda Baginda, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM); Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik; dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan Baginda dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan; Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman; Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof; Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned; dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, serta ahli-ahli jawatankuasa kebangsaan.
Majlis dimulakan dengan solat Fardu Maghrib dan solat Sunat Hajat berjemaah sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran, yang dipimpin oleh Ketua Hakim Syar’ie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Majlis serupa turut diadakan di masjid-masjid utama seluruh negara.
Di Daerah Brunei dan Muara, majlis turut diadakan di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri; Masjid Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam, Kampung Jerudong; Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong; Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun; Masjid Setia Ali, Pekan Muara; dan Masjid Perpindahan Lambak Kanan.
Di Daerah Belait, majlis diadakan di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait; Masjid RPN Negara Kampung Pandan, Kuala Belait; dan Masjid Pekan Seria.
Pada majlis di Masjid Muhammad Jamalul Alam, Kuala Belait telah dihadiri oleh Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku tetamu kehormat.
Turut hadir ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad; Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohammad Aliyani bin Ismail; penghulu mukim, ketua kampung serta para pegawai dan kakitangan dari agensi dan jabatan kerajaan di Daerah Belait.
Majlis dimulakan dengan solat Fardu Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Doa Kesyukuran sebelum diakhiri dengan solat Fardu Isyak.
Bagi Daerah Tutong, majlis diadakan di Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong (MHBPT) dan dihadiri oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Majlis dimulakan dengan solat Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Imam MHBPT, Awang Sahibul Omar bin Haji Yusof, diikuti solat Sunat Ba‘diah dan solat Sunat Hajat.
Bacaan Surah Yasin dan Tahlil diketuai oleh Imam MHBPT, Awang Mohammad Waiz bin Tajuddin, dan disudahi dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Tutong, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Azman bin Haji Musa.
Di Daerah Temburong, masjid tumpuan ialah di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar. Hadir selaku tetamu khas ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Shamhary bin Pengiran Dato Paduka Haji Mustapha.
Turut hadir, Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Hassan Baha bin Haji Umar dan Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, selaku Pemangku Penghulu Mukim Zon 1, Ketua Kampung Labu Estet dan Piasau-Piasau, Daerah Temburong.
Majlis turut disertai oleh para pegawai dan kakitangan dari setiap cawangan jabatan di Daerah Temburong, ahli jawatankuasa takmir masjid dan jemaah, persatuan-persatuan dan belia, kumpulan belia masjid Daerah Temburong dan pasukan-pasukan beruniform.
Majlis dimulakan dengan solat Fardu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Imam Tingkat III, Masjid Utama Mohammad Salleh, Awang Norezam bin Haji Zaini, diikuti dengan solat Sunat Ba‘diah masing-masing dan seterusnya solat Sunat Hajat berjemaah yang diimamkan juga oleh Awang Norezam.
Bacaan Surah Yasin dan Tahlil diketuai oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Utama Mohammad Salleh, Awang Muhammad Syahmi bin Haji Zaini, dan disudahi dengan bacaan Doa Kesyukuran yang dipimpin oleh Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Temburong, KHEU, Awang Harris Hamdillah bin Haji Masri.
Majlis penuh kesyukuran itu mencerminkan kasih dan taat setia rakyat jelata terhadap Baginda Sultan yang sentiasa menitikberatkan hal ehwal agama dan kesejahteraan rakyat serta negara.
Marilah kita terus berdoa ke hadrat Allah SWT agar Baginda Sultan dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, serta seluruh kerabat diraja, sentiasa berada dalam peliharaan Allah SWT, dilanjutkan usia, dikurniakan kesihatan yang berterusan dan terus memimpin Negara Brunei Darussalam dengan penuh kebijaksanaan dan keadilan.