Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pagi ini berkenan berangkat menghadiri Majlis Pembukaan Rasmi Persidangan Menteri-menteri ASEAN yang Bertanggungjawab Ke atas Penerangan (AMRI) ke-17 dan Mesyuarat-mesyuarat yang Berkaitan yang berlangsung di The Empire Brunei.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia dijunjung oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Persidangan AMRI ke-17.
Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berkenan mengurniakan sabda dan seterusnya menyempurnakan perasmian Persidangan AMRI.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat dipimpin oleh Ketua Hakim Syarie, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Paduka Seri Utama Dato Paduka Seri Setia Haji Awang Salim bin Haji Besar.
Pada majlis itu, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi turut menyampaikan sembah alu-aluan dan disusuli dengan ucapan daripada Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi Komuniti Sosiobudaya ASEAN (ASCC), Tuan Yang Terutama San Lwin selaku wakil Setiausaha Agung ASEAN.
Majlis dihadiri oleh menteri-menteri yang bertanggungjawab ke atas penerangan dari negara-negara anggota ASEAN, Republik Demokratik Timor-Leste, Republik Rakyat China dan Jepun.
Juga hadir dalam majlis tersebut ialah timbalan-timbalan menteri di JPM, setiausaha-setiausaha tetap di JPM, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi.
Majlis tersebut turut diserikan dengan beberapa persembahan kebudayaan yang mempamerkan kepelbagaian warisan seni dan budaya tempatan.
AMRI merupakan salah satu sektor di bawah Tonggak Komuniti Sosiobudaya ASEAN, di mana menteri-menteri AMRI bersidang setiap dua tahun.
Persidangan AMRI yang berlangsung pada 4 hingga 9 Mei didahului oleh Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab Ke atas Penerangan (SOMRI) dan termasuk mesyuarat-mesyuarat dengan Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea sebagai Rakan Dialog Plus Three.
Negara Brunei Darussalam akan menjadi Pengerusi AMRI dan SOMRI pada tahun 2025 hingga 2026.
Tema sepanjang kepengerusian Negara Brunei Darussalam ialah MAJU – Media Advancing Joint Understanding.
Di bawah tema itu, AMRI akan terus meningkatkan dan menegakkan ikatan perpaduan serantau yang sedia ada dan menyelaraskan tujuan strategik AMRI dalam membimbing inisiatif-inisiatif sektor maklumat ke hadapan.
Tema persidangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memajukan kerjasama dalam menjangka masa depan media dan penyiaran ASEAN.
Pendekatan itu bertujuan untuk memastikan AMRI dapat bersedia secara kolektif dalam menyediakan bahan atau kandungan yang mampu menarik perhatian penonton pada masa akan datang, di samping melabur secara strategik dalam transformasi media jangka panjang.