BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, pagi ini berangkat ke Pusat Konvensyen Nasional (NCC), Vientiane bagi menghadiri Majlis Pembukaan Sidang-sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan, Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN ke-45.
Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
Pada majlis pembukaan sidang-sidang kemuncak, keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah dialu-alukan oleh Perdana Menteri Republik Demokratik Rakyat Laos, Tuan Yang Terutama Sonexay Siphandone.
Majlis berkenaan juga dihadiri oleh para pemimpin ASEAN dan Republik Demokratik Timor-Leste yang dimulakan dengan lagu tema ASEAN, The ASEAN Way, diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada TYT Perdana Menteri Laos selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, di mana Tuan Yang Terutama mengalu-alukan kehadiran para pemimpin dan delegasi bagi menghadiri sidang-sidang berkenaan.
Seterusnya, Presiden Laos, TYT Thongloun Sisoulith menyampaikan ucapan perasmian pada majlis tersebut. Sejurus selepas itu, TYT Perdana Menteri Laos menyampaikan pemenang Hadiah ASEAN 2024 kepada Pertubuhan Belia ASEAN (AYO) dari Republik Indonesia.
Hadiah ASEAN merupakan sebuah anugerah bagi menghargai individu atau organisasi yang telah menyumbang secara signifikan ke arah memupuk persepaduan serantau dan memperkukuhkan Komuniti ASEAN.
Baginda seterusnya berangkat bersama para pemimpin ASEAN dan Republik Demokratik Timor-Leste bagi menghadiri Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 yang membincangkan agenda mengenai Pembinaan Komuniti ASEAN dan Langkah ke Hadapan dan Perhubungan Luar dan Hala Tuju Masa Depan.
Pada sesi pleno itu, Baginda berkenan mengurniakan titah menzahirkan ucapan takziah dan simpati atas kehilangan nyawa dan kemusnahan yang menimpa Filipina, Vietnam, Laos dan Myanmar akibat Taufan Yagi. Baginda seterusnya menekankan bahawa ASEAN telah mengemudi pelbagai cabaran termasuk pandemik global dan perubahan geopolitik, melalui kerjasama dan membina kesepakatan sejak ia ditubuhkan 57 tahun lalu. Meskipun menghadapi pelbagai cabaran, ASEAN berjaya meningkatkan kerjasama, memeterai perjanjian-perjanjian perdagangan bebas dan membangunkan pelbagai pusat ASEAN, serta memupuk kepercayaan dan kefahaman yang lebih mendalam, membina asas bagi keamanan dan pembangunan serantau.
Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan keahlian penuh Timor-Leste, yang akan melengkapkan keluarga ASEAN dalam kalangan masyarakat Asia Tenggara dan meningkatkan lagi perpaduan serantau.
Brunei juga kekal komited dalam menyokong usaha-usaha Timor-Leste. Merujuk kepada Visi Komuniti ASEAN 2045 yang akan dilancarkan, Baginda menghargai visi inovatif dan berpaksikan rakyat tersebut serta bertujuan untuk menambahbaik taraf kehidupan rakyat dan meningkatkan relevan ASEAN.
Selain itu, visi itu juga menekan-kan pengukuhan kerjasama dalam perubahan iklim, memandangkan peningkatan jumlah kejadian cuaca ekstrem yang mengakibatkan kehilangan nyawa, kerosakan harta benda dan kerugian ekonomi.
Oleh itu, sebaik sahaja Pusat Perubahan Iklim ASEAN ditubuhkan, ia akan dapat menyumbang kepada pelaksanaan visi tersebut dengan mengemukakan cadangan-cadangan dasar untuk menangani isu penting tersebut.
Baginda seterusnya menggalakkan agar negara-negara yang selebihnya untuk menandatangani Establishing Agreement.
Menyentuh mengenai hubungan luar ASEAN, Baginda menghargai kemajuan signifikan yang telah dicapai, termasuk penubuhan kerjasama dengan rakan dialog yang baharu dan menaik taraf lima Perkongsian Strategik ke peringkat Komprehensif.
Mengeratkan hubungan adalah penting bagi meningkatkan relevan ASEAN dan memulakan bidang kerjasama yang baharu seperti digitalisasi dan peralihan tenaga.
Dalam perkara tersebut, Baginda menekankan kepentingan untuk menilai setiap permohonan berdasarkan kelebihan dan kekuatan masing-masing bagi memastikan perkongsian yang dicadangkan akan dapat memberi manfaat kepada rakyat dan rantau ini.
Pada mengakhiri titah, Baginda menzahirkan penghargaan kepada TYT Perdana Menteri Laos selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, serta menyatakan sokongan penuh Brunei kepada Perdana Menteri Malaysia, TYT Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang mana Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.
Pada penghujung sidang kemuncak tersebut, dokumen-dokumen termasuk Pernyataan Pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45; Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Pembangunan Pelan Strategik untuk Melaksanakan Visi Komuniti ASEAN 2045; Deklarasi ASEAN mengenai Peningkatan Kesalinghubungan Rantaian Bekalan; Deklarasi ASEAN mengenai Pengukuhan Ekonomi Penjagaan dan Meningkatkan Ketahanan Menuju Komuniti ASEAN Pasca-2025; Deklarasi Pemimpin ASEAN mengenai Pengukuhan Keselamatan Bio dan Biosekuriti Serantau; Deklarasi ASEAN mengenai Pencegahan Buruh Kanak-kanak, termasuk Penghapusan Bentuk Terburuk Buruh Kanak-kanak; dan Rangka Kerja Sistem Penyelarasan Kecemasan Kesihatan Awam ASEAN (APHECS) telah diluluskan dan digunapakai.
Sementara itu, pada Sesi Retreat Sidang Kemuncak ASEAN ke-45, Baginda bersama para pemimpin ASEAN dan Demokratik Republik Timor-Leste telah menumpukan perbincangan pada pelaksanaan Konsensus Lima Perkara mengenai Myanmar serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa.