Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 JUN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga selaku Ketua Pengakap Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), pagi tadi berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Sambutan 75 Tahun Pengakap Tunas di Negara Brunei Darussalam dan Perasmian Pusat Latihan dan Perkhemahan Pengakap, PPNBD.
Berangkat sama ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik.
Keberangkatan tiba DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid selaku memangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku memangku Menteri Pendidikan; Yang Di-Pertua PPNBD, Dato Paduka Ar Haji Idris bin Haji Abas dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Junaidi bin Haji Husin serta ahli-ahli jawatankuasa tertinggi sambutan tersebut.
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam Allah Peliharakan Sultan, diikuti dengan laungan Persetiaan Pengakap Tunas yang diketuai oleh Awang Abdul Hasbul Wakeel bin Haji Bolkiah dan Awangku Mohd Nadzrin Nasrullah bin Pengiran Mohd Mu’izzaddin selaku ahli-ahli Pengakap Tunas 1054 Sekolah Rendah Pengiran Anak Puteri Besar, Sungai Kebun.
Bacaan Surah Al-Fatihah dipimpin oleh ahli Pengakap Tunas, Awang Mohammad Arif Fahmi bin Fariszal dan Awang Mohd Zul-Hafiz Al-Aqmar bin Haji Mohd Azizul Fitri selaku ahli-ahli Pengakap Tunas 1075 Sekolah Rendah Sengkurong.
Majlis disusuli dengan sembah alu-aluan daripada Dato Paduka Ar Haji Idris yang antaranya lain mengongsikan Pergerakan Pengakap Dunia bermula pada 1 Ogos 1907 oleh Pengasas Pengakap, Lord Baden Powell dan setelah menyedari permintaan daripada generasi kanak-kanak beliau menubuhkan Pasukan Anak Serigala atau Pengakap Tunas atau Wolf Cubs atau Cubs Scout Dunia, pada tahun 1916 di London. Ini adalah kerana untuk menubuhkan satu bahagian yang berasingan corak dan latihan kemahiran dengan peringkat umur mereka.
Beliau seterusnya menyembahkan, di Negara Brunei Darussalam, Pergerakan Pengakap ditubuhkan pada tahun 1933 yang kini sudah mencapai 92 tahun dan dalam menyedari hal yang sama, Pengakap Tunas turut ditubuhkan pada tahun 1950, dan kini mencapai 75 tahun. Pada mulanya ditubuhkan di Daerah Belait, pada 1953 di Daerah Tutong dan Daerah Brunei dan Muara pada tahun 1964.
“Pada masa ini keahlian pengakap-pengakap tunas sudah mencapai lebih 400 orang. Pencapaian dalam 75 tahun penubuhannya, kita telah berjaya menganjurkan kegiatan-kegiatan besar iaitu sebanyak empat kali Cuboree pada 2008, 2010, 2012 dan 18 hingga 23 Mac 2016 yang mana mencatatkan pertemuan menarik dalam kalangan ahli-ahli pengakap tunas negara-negara jiran,” jelasnya.
Dato Paduka Ar Haji Idris juga menambah Pengakap Tunas turut menyertai kegiatan-kegiatan besar PPNBD seperti Jambori Nasional yang pertama 1985, kedua 1989, ketiga 1999, keempat 2013 dan kelima pada 2023. Pada tahun 2008, mereka juga telah berjaya menganjurkan kursus khas iaitu kursus kepimpinan ‘Ketua Enam Sekawan’ dan kursus ini telah dijalankan secara berterusan yang mana salah satu acara sambutan pada hari ini ialah mengadakan kursus itu dalam satu aktiviti perkhemahan.
Pada majlis itu, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota berkenan mengurniakan sabda sebelum menandatangani plak perasmian dan juga lembaran kenangan.
Seterusnya, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung menyempurnakan penyampaian waran pesuruhjaya-pesuruhjaya pengakap dan sijil-sijil penghargaan kepada pengetua dan guru besar bagi sekolah-sekolah peringkat rendah dan menengah dan juga ketua kampung dari kampung-kampung yang mempunyai pasukan pengakap. Sebanyak 27 waran pesuruhjaya telah dianugerahkan kepada individu yang dilantik bagi tempoh perkhidmatan dari tahun 2025 hingga 2029.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota kemudian berkenan menerima pesambah.
Bagi memberkati majlis, Doa Selamat dipimpin oleh Pesuruhjaya Ibu Pejabat Bahagian Keugamaan, Haji Rosaimi bin Haji Othman.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik kemudian berkenan menyaksikan pameran-pameran dan permainan yang telah disediakan. Antara yang diketengahkan ialah aktiviti-aktiviti yang berasaskan permainan tradisi brunei, sukan dan cabaran minda.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik seterusnya berkenan dijunjung untuk bergambar ramai di pentas yang dikhaskan sebelum berkenan meneruskan lawatan ke kawasan Kelab Radio Amatur PPNBD.
Turut dipersembahkan semasa lawatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik ialah Monkey Bridge iaitu sejenis jambatan pioneering yang dibina khas. Binaan ini telah dikongsi dalam pelbagai gaya dan panduan sejak dahulu lagi, termasuk artikel majalah Boys’ Life pada tahun 1965 oleh pemimpin dan penulis pengakap terkenal, William ‘Green Bar Bill’ Hillcourt, serta melalui pelbagai edisi buku lencana merit pioneering.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik berkenan meneruskan lawatan ke kawasan perkhemahan yang terdiri daripada peserta-peserta Kursus Enam Sekawan.
Keberangkatan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota bersama DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik merupakan manifestasi jelas akan komitmen berterusan dalam usaha pembangunan belia, khususnya melalui pergerakan pengakap, selaku ketua pengakap. Keprihatinan dan sokongan padu DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota bersama DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik amat dihargai dan menjadi sumber inspirasi kepada seluruh warga pengakap Negara Brunei Darussalam.
Sambutan 75 Tahun Penubuhan Pengakap Tunas, satu peristiwa penting dalam sejarah pergerakan pengakap yang bertujuan menghargai pencapaian, perkembangan dan sumbangan besar yang telah dimainkan oleh pengakap tunas dalam membentuk generasi muda negara sejak penubuhannya pada awal 1950an.