Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM), petang tadi berkenan berangkat ke penerbangan VVIP pesawat P-8 Tentera Laut Amerika Syarikat.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia di Pusat Pergerakan Udara, Pangkalan Tentera Udara Rimba dijunjung oleh Pemerintah Tentera Udara Diraja Brunei (TUDB), Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohammad Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim.
Mengiringi Duli Yang Teramat Mulia dalam penerbangan itu ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Amerika Syarikat (AS) ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn R McClelland; Pemerintah Angkatan Bersama Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin dan Pemangku Timbalan Pemerintah TUDB, Kolonel (U) Hishamuddin bin Abidin.
Semasa penerbangan tersebut, Duli Yang Teramat Mulia berpeluang menyaksikan pemandangan di sekitar lingkungan Zon Ekonomi Eksklusif Negara Brunei Darussalam.
Pesawat P-8 adalah sebahagian daripada pameran statik sempena Hari Ulang Tahun ABDB ke-62 pada 31 Mei yang lalu.
Penerbangan VVIP ini mencerminkan kerjasama dua hala yang kukuh yang terjalin antara Negara Brunei Darussalam dan AS.